

KUALA LUMPUR: Ketika tumpuan terarah kepada misi memburu kejayaan di Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2026, kem badminton negara berdepan cabaran awal apabila kecederaan Toh Ee Wei memaksa barisan kejurulatihan menilai semula perancangan yang telah dirangka sejak awal musim.
Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto, mengakui kecederaan tersebut menjejaskan perancangan pasukan, namun menegaskan strategi lain akan dirangka bagi memastikan pasangan Ee Wei, Chen Tang Jie, tetap beraksi bersama pemain lain.
“Sememangnya situasi ini mengganggu persiapan kami kerana kita semakin hampir dengan Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.
“Namun dalam sukan badminton, situasi sebegini biasa terjadi dan sebagai jurulatih kita perlu bersiap sedia dengan alternatif lain,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Ee Wei mengalami koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kiri ketika beraksi pada suku akhir Terbuka Singapura.
Kejohanan Dunia 2026 akan berlangsung di New Delhi dari 17 hingga 23 Ogos ini, manakala Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dijadualkan bermula 19 September hingga 4 Oktober.
Sementara itu, Nova berkata pihaknya masih menanti sama ada Ee Wei perlu menjalani pembedahan atau sebaliknya, susulan kecederaan yang dialami.
Dalam pada itu, jurulatih dari Indonesia itu berkata Tang Jie buat sementara waktu akan bergandingan dengan Clarissa San, pada Terbuka China di Jiangsu dari 21 hingga 26 Julai ini.
Beliau berkata Clarissa dipilih kerana pemain tersebut paling menyerlah dalam skuad junior ketika ini, selain berpeluang mengutip pengalaman beraksi dalam kejohanan pada peringkat tinggi.
Nova pada masa sama mengakui beliau terpaksa mempercepatkan proses penilaian terhadap satu lagi gandingan baharu, Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang kini dilihat sebagai antara sandaran utama negara sekiranya Ee Wei terpaksa berehat panjang.
Bagaimanapun, Nova berkata kedudukan Jimmy-Su Yin masih belum terjamin kerana beliau perlu menilai prestasi mereka dalam beberapa kejohanan mendatang, termasuk Terbuka Australia 2026 di Sydney bermula hari ini hingga Ahad.
Jimmy-Su Yin akan membuka kempen saingan Super 500 tersebut berdepan wakil tuan rumah Andika Ramadiansyah-Nozomi Shimizu. – Bernama