
LAWAS: Polis Daerah Lawas sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian mendatangkan kecederaan menggunakan senjata tajam yang berlaku di Kampung Sinampuan, Sundar, Lawas pada 7 Jun 2026.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa didatangi seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Raimmy Jumat, 38, sebelum suspek bertindak menetak mangsa di bahagian kepala menggunakan senjata tajam.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan motif kejadian belum dapat dikenal pasti. Kes disiasat bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.
Orang dikehendaki dikenali sebagai Mohd. Raimmy Jumat berusia 38 tahun dengan alamat terakhir di Kampung Belimbing, Jalan Punang Lawas.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi atau keberadaan individu tersebut diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhammad Hanannizam Noor Affandi di talian 013-8997297 atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis yang berhampiran.
“Kerjasama dan maklumat daripada orang ramai amat dihargai bagi membantu melengkapkan siasatan serta memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara,” jelasnya.
Oleh Adeng Edrus