
ISTANBUL: Kapten Colombia James Rodriguez tampil menjawab kritikan selepas dituduh mengabaikan permintaan anak perempuan Presiden Gustavo Petro yang berusia 17 tahun, Antonella Petro, untuk bergambar semasa majlis pelepasan skuad bola sepak kebangsaan ke Piala Dunia.
Kontroversi itu tercetus selepas pasukan kebangsaan Colombia diraikan dalam satu majlis pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa El Dorado di Bogota menjelang Piala Dunia FIFA, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Presiden Petro dan anak perempuannya menghadiri acara itu serta menyampaikan hadiah kepada anggota skuad. Ketika majlis berlangsung, pengguna media sosial mendakwa Rodriguez tidak memberi respons apabila Antonella dikatakan meminta untuk bergambar bersamanya.
Rakaman video daripada acara itu dengan pantas tersebar dalam talian, sekali gus mencetuskan perdebatan di seluruh Colombia. Segelintir pengguna media sosial mengkritik bintang bola sepak itu dengan mendakwa beliau mengabaikan permintaan remaja berkenaan, manakala pihak lain berpandangan rakaman itu ditafsir tanpa konteks yang betul.
Susulan kontroversi itu, Antonella Petro memuat naik mesej video di media sosial yang menggesa rakyat Colombia terus menyokong pasukan kebangsaan selain menolak kritikan yang dilemparkan terhadap Rodriguez.
Menyifatkan pemain tengah itu sebagai idolanya sejak kecil, Antonella turut mengimbau jaringan voli terkenal Rodriguez ketika menentang Uruguay pada Piala Dunia FIFA 2014.
“Gol pertama yang saya pernah raikan dalam hidup ialah gol anda, James,” katanya. “Saya tidak akan melupakan jaringan voli menentang Uruguay pada 2014 itu. Ketika kecil, saya menulis banyak surat kepada anda. Kita perlu menyokong pasukan kebangsaan dalam semangat perpaduan. Di atas padang, kita semua adalah satu negara.”
Antonella turut berkata beliau masih berharap dapat bergambar dengan Rodriguez suatu hari nanti selain menyatakan kasih sayangnya terhadap seluruh pasukan.
Rodriguez kemudian memberi respons secara terbuka menerusi platform X dengan menandakan akaun Antonella dalam mesejnya.
“Antonella, gambar itu pasti akan menjadi kenyataan tidak lama lagi,” tulisnya. “Jersi saya juga milik anda. Beritahu sahaja ke mana anda mahu saya menghantarnya. Terima kasih atas sokongan yang anda berikan kepada saya dan semua rakan sepasukan. Setiap perkara ada waktunya, dan kini masanya untuk kita bersatu menyokong pasukan kebangsaan di Piala Dunia. Jumpa lagi.”
Presiden Petro turut mengucapkan terima kasih kepada Rodriguez di platform X atas respons serta penghargaan beliau terhadap anak perempuannya.
Pertukaran hantaran itu dilihat meredakan ketegangan berhubung insiden berkenaan, dengan Antonella dan Rodriguez sama-sama menekankan sokongan terhadap pasukan kebangsaan Colombia menjelang Piala Dunia. – Bernama