
BEKENU : Dalam era moden yang semakin dipengaruhi gaya hidup serba pantas, tradisi gotong-royong mengelupis masih kekal relevan kerana ia melambangkan nilai kebersamaan, kesepakatan dan warisan budaya yang menjadi identiti masyarakat Kedayan di Sarawak.
Tradisi gotong-royong mengelupis atau membuat kelupis terus menjadi amalan yang dipelihara oleh masyarakat Kedayan di kawasan Bekenu serta beberapa kawasan lain di Sarawak, khususnya menjelang Makan Tahun.
Lebih daripada sekadar menyediakan juadah tradisional, aktiviti mengelupis menjadi platform yang mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan penduduk kampung.
Menurut Rimos Jabis, 54, Kampung Tunah Tiris salah seorang ahli jawatankuasa Makan Tahun, persiapan untuk menghasilkan kelupis lazimnya bermula lebih awal, malah ada kalanya mengambil masa sehingga seminggu.
“Penduduk akan bergotong-royong mencari kayu api untuk kegunaan merebus serta mengumpulkan daun nyirik atau daun palas yang digunakan sebagai pembungkus kelupis.
“Proses penyediaan turut melibatkan pembahagian tugas dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.


Katanya, kaum lelaki biasanya bertanggungjawab mencari kayu api, membersihkan kawasan memasak dan menyediakan peralatan, manakala kaum wanita pula menyediakan beras pulut, santan serta mengendalikan proses membungkus kelupis yang memerlukan kemahiran dan ketelitian.
“Beras pulut yang telah dicuci akan dimasak bersama santan dan garam sehingga separuh masak sebelum dibungkus menggunakan daun yang telah disediakan.
“Kelupis kemudiannya diikat dengan kemas sebelum direbus dalam periuk besar selama beberapa jam sehingga masak sepenuhnya,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus yang hadir di sini, proses mengelupis secara beramai-ramai bukan sahaja mempercepatkan kerja, malah memberi ruang kepada generasi muda untuk mempelajari teknik tradisional yang diwarisi turun-temurun.
“Suasana gotong-royong biasanya diserikan dengan gelak tawa, perkongsian pengalaman dan cerita lama, menjadikan aktiviti tersebut sebagai medium mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta kejiranan.
“Kelupis yang siap dimasak lazimnya dihidangkan bersama kari, rendang atau sambal, selain menjadi hidangan wajib di Majlis Makan Tahun.
“Usaha mengekalkan tradisi ini dilihat penting bagi memastikan warisan nenek moyang terus diwarisi oleh generasi akan datang, sekali gus memperkukuhkan jati diri dan semangat perpaduan dalam komuniti setempat,” tegasnya.
Oleh Adum Liu