
KUALA LUMPUR: Selepas mencuri perhatian menerusi beberapa karya terdahulu tahun ini termasuk EP peribadi, single Tahun Baharu Cina Rock in the Horse Year dan lagu Aidilfitri, Memori Hari Raya, T-Rex kini tampil dengan karya baharu berjudul Anak Borneo, yang telah rasmi dilancarkan di semua platform digital berserta video muzik rasmi.
Dikenali ramai sebagai bekas vokalis kumpulan rock Kamikaze menerusi lagu-lagu popular seperti Luhur dan Tawa Dalam Tangisan, T-Rex terus memperlihatkan perjalanan seni yang semakin matang dan berani meneroka sisi muzik yang lebih peribadi.
Anak Borneo merupakan antara karya paling dekat di hati T-Rex sepanjang lebih 25 tahun perjalanan seninya. Lagu ini membawa kisah tentang asal-usul, budaya, memori dan rasa rindu terhadap tanah kelahiran yang sentiasa hidup dalam dirinya.

Dilahirkan di Kuching, Sarawak, T-Rex mempunyai darah campuran Cina dan pribumi tempatan. Hubungan rapat dengan budaya serta warisan Borneo menjadi inspirasi utama dalam penghasilan karya ini, sekali gus menjadikan Anak Borneo sebuah karya yang sangat peribadi dan penuh makna.
“Anak Borneo adalah lagu yang sangat dekat dengan hati saya. Selepas 25 tahun dalam muzik, akhirnya saya dapat menghasilkan karya yang benar-benar menggambarkan siapa diri saya, dari mana saya datang, dan apa yang saya rasa tentang Borneo. Ini lebih daripada sebuah lagu ini sebahagian daripada perjalanan hidup saya.”
Karya ini sekali lagi menyatukan T-Rex bersama penerbit muzik Melissa Ng. Selepas beberapa kolaborasi terdahulu, kedua-duanya kembali bekerjasama menerusi Anak Borneo, meneruskan keserasian kreatif yang telah dibina bersama.
Dalam proses produksi, Melissa Ng menampilkan susunan muzik moden yang halus, penuh lapisan emosi dan sentuhan sinematik yang mendalam.

Pendekatan ini berjaya membawa semangat Borneo ke dalam sebuah karya kontemporari yang kuat dari segi emosi dan penceritaan.
Video Muzik Anak Borneo
Video muzik rasmi Anak Borneo menjalani penggambaran di lokasi alam semula jadi sekitar Selangor, memanfaatkan keindahan landskap tempatan untuk membawa visual yang sarat dengan emosi, budaya dan semangat Borneo secara sinematik.
Penggambaran turut menampilkan individu dalam busana etnik tradisional sebagai simbol kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat pribumi, sekali gus memperkukuhkan identiti visual dan jiwa karya ini.
Konsep kreatif video muzik ini turut digarap bersama Melissa Ng, yang memainkan peranan penting dalam membentuk keseluruhan mood dan penceritaan visual karya ini.
Melalui sentuhan kreatif dan perancangan visual yang teliti, beliau berjaya menyusun sebuah konsep penggambaran yang unik dan menonjol, sekali gus membawa emosi lagu Anak Borneo diterjemahkan dengan lebih mendalam ke layar.
MV ini menampilkan gabungan visual alam semula jadi, elemen budaya dan penceritaan yang menyentuh hati, membawa penonton menyelami semangat Borneo serta merasai suasana kampung halaman yang dekat dengan jiwa karya Anak Borneo.
Bukan sahaja menyajikan visual yang mengujakan, malah MV ini turut dipenuhi rasa rindu, memori dan sentuhan kampung halaman yang kuat, menjadikan keseluruhan karya ini seolah-olah membawa penonton pulang semula ke Borneo melalui muzik dan visual.
Anak Borneo kini boleh distrim di semua platform digital, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di YouTube rasmi T-Rex.