
MUKAH: Seorang penganggur ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jebungan, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 31 tahun dan merupakan warga tempatan itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira 9.30 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan di lokasi tangkapan tidak menemukan sebarang barang salah dan suspek kemudiannya dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah sehingga siasatan selesai,” katanya.
Muhamad Rizal menegaskan bahawa IPD Mukah komited dalam usaha membanteras segala bentuk aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi talian Hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Akun Giman