KUCHING: Bagi memastikan tiada penularan Covid-19 dalam kalangan kluster tempat kerja, gesaan untuk memperkasakan langkah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kilang dan ladang harus diberi perhatian sewajarnya.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Willie Mongin berkata, kerajaan memandang berat isu pematuhan SOP oleh semua syarikat di bawah sektor penting dalam usaha untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19.
“Sejak wabak ini (Covid-19) melanda negara tahun lalu, banyak syarikat di bawah sektor penting termasuk industri pembinaan, perladangan dan komoditi mematuhi SOP yang telah disarankan.
“Meskipun terdapat satu atau dua syarikat yang tidak melaksanakan sepenuhnya perlaksanaan SOP sebelum ini, kita berjaya mengatasi masalah ini setelah mengambil tindakan pantas dan tegas dan kita bersyukur kerana selepas kejadian itu, syarikat terlibat kini mematuhi SOP,” katanya.
Berliau berkata demikian pada sidang media selepas mengunjungi East Asia Palm Product Sdn. Bhd. di Jalan Bako di sini semalam untuk meninjau pematuhan SOP di tempat kerja, terutama syarikat di bawah KPPK.
Tambah Willie, majikan perlu memastikan bahawa kakitangannya mematuhi SOP yang ditetapkan seperti mengehadkan bilangan pekerja ke ladang dan kilang, memastikan bahawa mereka tidak berkumpul di tempat yang sempit serta sentiasa mematuhi jarak fizikal seperti yang disarankan.
“Mereka juga diingatkan untuk mematuhi Peraturan Perumahan dan Kemudahan Minimum Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) selaras dengan Inisiatif Ke-empat Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) untuk memperkasakan pemeriksaan kesihatan pekerja.
“Pematuhan Akta 446 sangat penting untuk memastikan pekerja mempunyai tempat tinggal yang bersih dan kondusif selain mengelakkan kesesakan supaya dapat mencegah penyebaran jangkitan Covid-19,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau juga menggesa supaya semua syarikat yang mempunyai pekerja asing untuk melakukan pemeriksaan Covid-19.
“KPKK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MBOP) ingin mengingatkan semua pemegang lesen MPOB supaya mematuhi arahan dan memastikan pekerja asing yang digaji oleh syarikat yang berkenaan menjalani pemeriksaan Covid-19 sebelum 28 Februari ini.
“Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang gagal untuk membuat sedemikian selain tidak mengikut peraturan yang telah kita tetapkan,” tegasnya.
Willie berharap dengan pematuhan SOP yang lebih ketat oleh majikan akan mengurangkan jumlah kes Covid-19 seterusnya dapat meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan kadar yang segera.
Tambah beliau, sebarang pertanyaan mengenai SOP boleh dibuat kepada kementerian dengan menghubungi talian hotline di 03-8880 3498 antara 8.00 pagi dan 5.00 petang dari Isnin hingga Jumaat atau melalui e-mel di hotlinempic@mpic.gov.my.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif East Asia Palm Product Sdn. Bhd., Andrew Nguang Paw Chiang dan Ketua MPOB Wilayah Sarawak, Murphy Solomon.
Oleh ASYRAF HALIM