GEDONG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat peruntukan RM1.5 juta daripada Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan Program Jiwa Murni yang meliputi tiga kawasan iaitu Gedong, Simunjan dan Sadong Jaya.
Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, sebanyak RM500,000 telah digunakan untuk projek Jiwa Murni di kawasan Gedong dan selebihnya akan diperuntukkan bagi Simunjan dan Sadong Jaya.
“Kita akan melaksanakan 17 projek Jiwa Murni di kawasan Gedong yang merangkumi membaik pulih 12 buah rumah, membina tiga jambatan baru bagi tiga buah rumah, menyelenggara tanah pekuburan Islam Gedong dan menyelenggara dan mengecat Masjid Gedong.
“Pada masa yang sama ini adalah masa yang tepat untuk menyantuni dan mendekatkan agensi ini dengan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pelancaran Projek Jiwa Murni Hari Td Ke-8 di perkarangan rumah Encik Rahim Bujang Ahmad di Gedong di sini semalam.
Beliau juga berkata program ini adalah untuk memastikan hubungan erat yang dijalinkan di antara Tentera Darat dan rakyat adalah salah satu elemen penting bagi mendukung pencapaian 5 Tonggak Perintah Ulung Panglima Tentera Darat sebagaimana yang telah digariskan.
“Oleh yang demikian, kita telah merancang dan mengenal pasti 56 buah projek Jiwa Murni dengan peruntukan kira-kira RM 2.45 juta di peringkat Tentera Darat.
“Program ini melibatkan kerjasama dan peruntukan daripada Kerajaan Negeri, pemimpin setempat serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan dilaksanakan di seluruh negeri dan jumlah projek-projek akan bertambah dari semasa ke semasa,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa Tentera Darat Malaysia akan terus komited dalam membantu rakyat yang memerlukan terutama golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
Turut Hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gedong, Datuk Naroden Majais.
Oleh ASYRAF HALIM