
BAU: Dua lelaki tempatan berusia 22 dan 30 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di Kampung Pangkalan dan Kampung Pedaun Bawah, Krokong, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide Abdul Rahman berkata, kedua-dua suspek ditahan antara 9.30 pagi hingga 10.30 pagi selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap salah seorang suspek menemukan satu paket plastik lutsinar kecil yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu.
“Suspek berusia 30 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah yang disyaki syabu.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan kedua-dua suspek dalam aktiviti berkaitan dadah di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.
Oleh Shahrul Qaizat