Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Diallo hadiahkan kemenangan mengejut Ivory Coast ke atas Perancis
  • SUKAN

Diallo hadiahkan kemenangan mengejut Ivory Coast ke atas Perancis

Utusan Sarawak 4 hours ago
PEMAIN pertahanan Perancis, Lucas Digne (kiri), berebut bola dengan penyerang Ivory Coast, Amad Diallo, dalam perlawanan persahabatan antarabangsa antara Perancis dan Ivory Coast sebagai persiapan menjelang kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 di Stade de la Beaujoire, Nantes, barat Perancis, pada 4 Jun 2026. Foto AFP

NANTES, Perancis: Amad Diallo menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan ketika Ivory Coast mencipta kejutan dengan menewaskan Perancis 2-1 dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia di Nantes pada Khamis.

Kapten Perancis, Kylian Mbappe, yang membuat penampilan ke-97 bersama negaranya, berharap dapat memecahkan rekod 57 gol milik Olivier Giroud untuk Les Bleus.

Namun, beliau gagal menemui sentuhan penyudah dan dikeluarkan oleh ketua jurulatih Didier Deschamps pada separuh masa, sekali gus kekal dengan 56 gol di tangga kedua senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis.

Rayan Cherki meletakkan Perancis di hadapan pada minit terakhir babak pertama menerusi rembatan rendah yang padu selepas memperagakan gerakan lincah dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Guela Doue, abang kepada pemain antarabangsa Perancis, Desire Doue, menyamakan kedudukan pada minit ke-53.

Pemain sayap Manchester United, Diallo, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, memastikan kemenangan The Elephants menerusi penyudah kemas enam minit sebelum perlawanan tamat.

Perancis, yang dianggap antara calon utama untuk menjuarai Piala Dunia, akan menentang Ireland Utara dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Lille pada Isnin sebelum memulakan kempen memburu gelaran dunia ketiga menentang Senegal di East Rutherford pada 16 Jun.

Sementara itu, Sepanyol yang menurunkan sebahagian besar pemain pelapis sekadar seri 1-1 dengan Iraq dalam perlawanan di A Coruna. Iraq sedang membuat persiapan bagi penampilan pertama mereka di Piala Dunia sejak 1986.

Juara Eropah itu membuka jaringan menerusi Ferran Torres yang turut menggalas tugas sebagai kapten pasukan pada malam tersebut pada minit ke-16.

Namun, hantaran lintang daripada bek kiri kelahiran Jerman, Merchas Doski, berjaya menghasilkan gol penyamaan Iraq 11 minit kemudian apabila bola tersebut mengelirukan penjaga gol Joan Garcia.

Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan dan Torres hampir menambah jaringan apabila rembatannya terkena palang lima minit sebelum rehat.

Namun demikian, pasukan bimbingan Luis de la Fuente, yang memberikan penampilan sulung antarabangsa kepada tujuh pemain di luar skuad Piala Dunia, gagal menjaringkan gol kemenangan.

Dalam perkembangan lain, Iran menamatkan persiapan menghadapi Piala Dunia dengan kemenangan 2-0 ke atas Mali di Turkiye.

Mereka dijadual berlepas ke pangkalan pasukan di Mexico pada Sabtu selepas akhirnya menerima visa kemasukan pada minggu ini.

Bagaimanapun, mereka masih belum memperoleh visa Amerika Syarikat (AS) walaupun akan beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan di negara itu, bermula menentang New Zealand di Los Angeles pada 16 Jun.

Sementara itu, penyerang Switzerland, Breel Embolo, akhirnya menerima visa AS selepas permohonannya sebelum ini ditangguhkan untuk semakan.

Persekutuan Bola Sepak Switzerland mengumumkan pada Khamis bahawa visa Embolo telah diluluskan dan beliau akan berlepas pada Jumaat untuk menyertai rakan sepasukannya. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Hafizh Syahrin optimis kekal cemerlang di Litar Motegi
Next: JDT, Kuching City FC diundi dalam kumpulan berbeza bagi ACC 2026/2027

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.