

LUNDU: Dua lelaki cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kendiri berhampiran Kampung Stungkor di Jalan Bau-Lundu, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.23 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pada 2.57 petang, pasukan keluaran operasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios.
“Dua mangsa lelaki dewasa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan kedua-duanya tidak tersepit dalam kenderaan.
“Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa menggunakan pengusung ke bahu jalan serta memberikan rawatan awal sementara menunggu ketibaan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa, iaitu pemandu, mengalami kecederaan ringan pada bahagian rusuk kiri, manakala penumpang pula mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk dan belakang.
Menurut kenyataan itu, mangsa penumpang dibawa ke Hospital Lundu menggunakan ambulans KKM, manakala mangsa pemandu dihantar ke hospital sama menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.17 petang selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.
Oleh Shahrul Qaizat