

KUALA LUMPUR: Bekas pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei menyifatkan gandingan muda sensasi, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan memiliki corak permainan hampir sama dengan pasangan utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah.
Khe Wei berkata ini kerana ranking ke-84 dunia itu dilihat cukup berani dan mempunyai identiti tersendiri tanpa menunjukkan rasa gentar setiap kali turun ke gelanggang.
“Saya harap mereka boleh jadi beregu kedua Malaysia sebab mereka punya cara permainan sangat istimewa terutama cara permainan yang berani.
“Mereka tidak ‘old school’ atau nampak takut-takut, memang saya suka tengok mereka main kerana ada corak permainan sikit macam Pearly- Thinaah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Piala Tiga Saga 2026 di sini hari ini.
Sekiranya pasangan itu terus berani mencabar lawan dan berjaya memenangi lebih banyak kejohanan, beliau yakin Zi Yu-Noraqilah mampu berada pada tahap setanding dengan gandingan nombor satu negara itu.
“Yang paling penting ialah berani. Jika mereka lebih berani main dan menang banyak pertandingan, tahap mereka akan naik dan saya rasa memang boleh setanding Pearly dan Thinaah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa aspek konsistensi dan ketahanan dalam rali panjang perlu dipertingkatkan memandangkan saingan di peringkat antarabangsa menuntut kekuatan mental dan fizikal yang tinggi.
Mengenai perkembangan kategori beregu wanita, Khe Wei percaya sektor berkenaan kini semakin membangun hasil inspirasi yang dibawa oleh Pearly-Thinaah yang kini membuktikan pemain wanita Malaysia mampu bersaing di peringkat elit.
Dalam pada itu, beliau turut bersetuju dengan pandangan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei mengenai kepentingan disiplin buat pemain muda yang belum berkahwin untuk kekal menetap di dalam akademi bagi memastikan fokus tidak terganggu.
“Bagi pemain mungkin mereka rasa tertekan sebab tinggal di BAM 24 jam tak keluar, tapi saya rasa BAM pun ada bagi pemain pergi keluar makan semua.
“Kawalan disiplin itu penting bagi memastikan kualiti latihan tidak terjejas akibat faktor luar seperti gaya hidup tidak sihat atau kurang waktu tidur yang akhirnya akan memberikan kesan buruk kepada prestasi pemain itu sendiri,” katanya. – Bernama