
LABUAN: Labuan bakal melakar sejarah dalam acara larian menerusi penganjuran maraton penuh buat julung-julung kali, Maraton Mutiara Borneo 2026 bermula esok hingga Ahad ini, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Wilayah Persekutuan itu sebagai destinasi pelancongan sukan.
Acara itu yang dianjurkan Perbadanan Labuan dengan kerjasama Kelab Olahraga Faxtive menampilkan empat kategori, iaitu 42 kilometer (km) (maraton penuh), 21 km (separuh maraton), serta larian santai sejauh 10 km dan 3 km.
Jawatankuasa penganjur Maraton Mutiara Borneo 2026 memaklumkan sebanyak 3,372 peserta dari 16 negara telah mendaftar antaranya dari Indonesia, Singapura, Rusia, Kanada, China, Australia, Amerika Syarikat, Ghana, termasuk Malaysia.
Acara yang akan bermula dan berakhir di Dataran Labuan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM105,166.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dijadualkan melepaskan peserta larian pada tengah malam, 6 Jun.
Penganjuran Maraton Mutiara Borneo 2026 itu melakar pencapaian baharu bagi komuniti larian di Labuan yang semakin berkembang, di samping dapat mempromosikan pulau bebas cukai berkenaan sebagai lokasi menarik untuk acara rekreasi dan gaya hidup. – Bernama