Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • AI tidak mampu ganti pengalaman wartawan di lapangan – Pakar
  • NASIONAL

AI tidak mampu ganti pengalaman wartawan di lapangan – Pakar

Utusan Sarawak 6 hours ago
Dr Syed Agil tegaskan laporan berkualiti lahir daripada pengalaman di lapangan.

KOTA BHARU: Keupayaan menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam dunia bilik berita ketika ini bukan lagi dianggap sebagai satu pilihan sebaliknya menjadi keperluan kritikal dalam mendepani landskap media yang semakin mencabar dan kompetitif.

Seiring perubahan digital yang bergerak pantas, kegagalan organisasi media mengintegrasikan teknologi AI dalam operasi bukan sahaja boleh menjejaskan kecekapan dan produktiviti malah berisiko ketinggalan dalam persaingan untuk kekal relevan dengan keperluan audiens.

Walau bagaimanapun, di sebalik kelebihan teknologi itu yang mampu mempercepatkan penghasilan berita, timbul kebimbangan mengenai kebergantungan melampau terhadap AI dan sumber digital yang dikhuatiri boleh menghakis nilai asas kewartawanan, termasuk budaya turun padang yang menjadi tunjang kepada laporan berkualiti.

Kebimbangan itu berpunca daripada perdebatan berterusan mengenai kecenderungan sesetengah laporan yang terlalu bergantung kepada maklumat di media sosial atau sumber dalam talian, yang kemudiannya diproses menggunakan AI tanpa pengesahan terus di lokasi kejadian.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata AI sememangnya boleh menjadi alat berkesan untuk meningkatkan produktiviti di bilik berita, namun ia tidak mampu menggantikan pengalaman serta pertimbangan editorial wartawan di lapangan.

Beliau berkata kekuatan utama wartawan dalam menghasilkan laporan berimpak tinggi kekal bergantung kepada keupayaan mereka untuk melihat sendiri situasi sebenar, bertemu masyarakat serta mendapatkan pengesahan daripada pelbagai sumber sebelum sesuatu berita diterbitkan.

“Jika wartawan terlalu bergantung kepada AI dan sumber digital, budaya turun padang akan semakin berkurangan, sedangkan kehadiran wartawan di lapangan sangat penting untuk memahami konteks sebenar sesuatu isu dan mendapatkan gambaran yang lebih tepat,” katanya kepada Bernama.

Syed Agil berkata pendekatan turun padang bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada wartawan, malah membantu menghasilkan laporan yang lebih komprehensif dengan naratif lebih kuat berdasarkan pemerhatian langsung di lokasi kejadian.

Jelas beliau, keadaan itu berbeza dengan laporan yang terlalu bergantung kepada AI dan media sosial yang berisiko menjadikan sesuatu berita itu “hambar” kerana teknologi hanya mampu memproses data tanpa memahami emosi dan sensitiviti masyarakat.

“Pengalaman berada di lokasi kejadian membolehkan wartawan memahami emosi, suasana dan realiti sebenar yang tidak mampu diterjemahkan sepenuhnya oleh teknologi. Misalnya, apabila berlaku sesuatu bencana wartawan yang turun padang dapat menterjemah naratif berita dengan lebih baik.

“Sedangkan AI dan media sosial hanya boleh membantu menghasilkan laporan dengan pantas tetapi ia tidak mampu menggantikan pengalaman wartawan yang melihat sendiri penderitaan mangsa, ketakutan semasa konflik dan kesedihan keluarga yang kehilangan insan tersayang,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Agil menegaskan kewartawanan bukan sekadar menyampaikan fakta tetapi turut melibatkan pemahaman terhadap denyut nadi manusia serta realiti masyarakat, selain menuntut penghasilan laporan yang beretika melalui kehadiran di lapangan.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan manfaat AI jika digunakan secara bijak, khususnya dalam penyelidikan, analisis data dan penghasilan kandungan multimedia, namun masih perlu diseimbangkan dengan nilai asas kewartawanan.

“AI ialah alat bantu, wartawan tetap perlu turun padang untuk melihat, mendengar dan memahami sendiri sesuatu isu. Tanpa elemen itu, laporan mungkin cepat disiapkan tetapi hilang jiwa dan nilai kemanusiaannya,” katanya.

Justeru, bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada 20 Jun ini, beliau berkata ia wajar dijadikan platform untuk memperkukuh keseimbangan antara kemajuan teknologi serta nilai kemanusiaan dalam kewartawanan bagi memastikan industri media terus relevan dan diyakini masyarakat.

Bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, kemuncak sambutan HAWANA kali ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang, dengan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, HAWANA merupakan platform penghargaan kepada sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.- Bernama

Continue Reading

Previous: Dun Negeri Sembilan dibubar untuk beri laluan kepada PRN
Next: PM arah KPT, KKM selesai segera isu kelayakan PharmD lulusan Universiti Alexandria – PMO

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.