
ZAGREB, Croatia: Beberapa individu terbunuh selepas sebuah pesawat ringan terhempas di wilayah Istria, barat laut Croatia hari ini, lapor Xinhua, memetik polis tempatan.
Menurut Jabatan Polis Istria, nahas berlaku kira-kira 11.20 pagi waktu tempatan (0920 GMT) di kawasan Campanoz.
Media tempatan melaporkan secara tidak rasmi bahawa empat individu disahkan maut, manakala pasukan penyelamat masih mencari dua lagi yang hilang.
“Semua perkhidmatan kecemasan termasuk pasukan perubatan, bomba dan polis kini berada di lokasi bagi mengambil semua tindakan yang perlu dalam bidang kuasa masing-masing,” kata jurucakap Polis Istria Alen Pacic.
Siasatan bagi mengenal pasti punca nahas sedang dijalankan. – Bernama