
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala meneruskan kunjungan Gawai ke dua rumah panjang, Rh Bonny Sungai Babi dan Rh Judan Sg. Dabai di Poyut-Lubok Nibong.
Dalam kunujngan di kedua-dua rumah panjang berkenaan, Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, Gawai adalah satu tradisi dan warisan masyarakat Dayak yang harus diteruskan oleh generasi akan datang.
Katanya, sambutan Gawai juga menjadi kesempatan untuk mereka berkumpul bersama ahli keluarga yang pulang dari jauh serta mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan di rumah panjang. Menurut beliau, kerajaan amat menyokong usaha untuk semua kaum mempertahankan budaya dan meneruskan tradisi masing-masing dengan kunjung-mengunjung semasa perayaan.
“Ini merupakan keunikan kita di Sarawak, iaitu hidup bermasyarakat serta meraikan perayaan bersama-sama dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain, sesuatu yang sukar ditemui di tempat lain,” katanya ketika berucap di kedua-dua rumah panjang yang dikunjunginya.
Katanya, walaupun Sarawak mempunyai pelbagai bangsa, budaya dan kepercayaan, masyarakatnya tetap saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain, sekali gus menjadikan perpaduan sebagai kekuatan utama negeri ini.
Malah, ujarnya, ia merupakan aset yang amat bernilai dan wajar dibanggakan kerana keunikan serta perpaduan yang terjalin dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan.
“Harapan saya pada perayaan Gawai akan datang, kita akan terus diberkati dengan kesihatan yang baik, hasil yang bertambah dan berkat yang berlimpah,” kata beliau.
Ketika berkunjung ke Rh Judan Sg Dabai, beliau meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) RM7,000 kepada Jawtankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM4,000 kepada Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Unit Rh Judan.
Turut bersama dalam rombongan beliau, Setiausaha Politik di Pejabat Premier, Dominic Nyurang serta isteri, Ketua Masyrakat Iban Marudi, Pemanca Randie Bundan, Pemanca Salina Sakai serta suami, barisan Penghulu, Tuai-Tuai Rumah dan para Kaunselor.
Oleh Jiku Jiguong