Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • SUPP perkukuh persiapan menjelang PRN Sarawak
  • Tengah
  • WILAYAH

SUPP perkukuh persiapan menjelang PRN Sarawak

Utusan Sarawak 7 hours ago
RAKAM KENANGAN…. (barisan hadapan, empat dari kiri) Buong Toon, Wong, Tiang, Dr Soon, Chieng serta yang lain) merakam kenangan pada Upacara menaikkan bendera sempena Ulang Tahun Ke-67 SUPP di Bangunan SUPP Sibu, Jalan Kampung Datu, hari ini.

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan terus memperkukuh persiapan bagi mempertahankan kerusi yang disandang selain berusaha merampas semula kawasan yang gagal dimenangi pada pilihan raya lalu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, PRN Sarawak yang bakal berlangsung itu merupakan detik penting dalam menentukan hala tuju masa depan Sarawak.

Menurutnya, sebagai salah satu parti komponen utama Gabungan Parti Sarawak (GPS), SUPP akan terus berdiri teguh bersama gabungan itu dalam mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak.

“Perjuangan mempertahankan Sarawak amat penting, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Menjelang pilihan raya akan datang, kita perlu sentiasa mengingati bahawa objektif utama parti adalah untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri upacara menaikkan bendera sempena Ulang Tahun Ke-67 SUPP di Bangunan SUPP Sibu, Jalan Kampung Datu, hari ini.

Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan matlamat untuk memperoleh kemenangan besar bagi memastikan kestabilan politik serta meneruskan agenda pembangunan Sarawak.

“Bagi kerusi yang disandang penyandang sedia ada, persiapan sedang berjalan seperti biasa, manakala bagi kawasan yang belum dimenangi, parti (SUPP) telah mengenal pasti beberapa calon berpotensi yang kini giat bekerja di peringkat akar umbi.

“Bagaimanapun, keputusan berhubung senarai calon muktamad terletak di bawah bidang kuasa Presiden SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan kepimpinan tertinggi parti GPS, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Mereka akan menentukan calon terbaik bagi setiap kawasan,” katanya.

Dalam pada itu, Tiang berkata, beliau telah memulakan persiapan sejak dipilih sebagai ADUN Pelawan pada Disember 2021 dan terus memberi tumpuan kepada usaha berkhidmat kepada masyarakat setempat.

Katanya, peluang untuk berkhidmat kepada rakyat Pelawan merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Kami tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan yang ada. Jawatan yang diberikan oleh rakyat ini adalah untuk berkhidmat kepada mereka.

“Kami telah bekerja keras sepanjang tempoh lebih empat tahun ini dan berharap rakyat dapat menilai segala usaha yang telah dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau berharap pengundi akan terus memberi sokongan kepada SUPP dan GPS bagi membolehkan kerajaan Sarawak meneruskan usaha mempertahankan hak Sarawak serta memastikan pembangunan yang berterusan untuk kesejahteraan rakyat.

Upacara menaikkan bendera sempena Ulang Tahun Ke-67 SUPP di Bangunan SUPP Sibu, Jalan Kampung Datu, hari ini, telah disempurnakan oleh Penasihat Kehormat SUPP Cawangan Dudong, Datuk Dr Soon Choon Teck.

Turut hadir ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Pengerusi SUPP Bukit Assek, Datuk Chieng Buong Toon, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie serta yang lain.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: SUPP perlu terus bersama rakyat pertahankan Sarawak menjelang PRN
Next: Rumah panjang berpotensi jadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.