Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Tiga negeri berdepan PRN, PRU16 mungkin tahun depan
  • KOLUMNIS

Tiga negeri berdepan PRN, PRU16 mungkin tahun depan

Utusan Sarawak 8 hours ago

SELEPAS Johor, kemungkinan besar disusuli Melaka dan Sarawak untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum 31 Disember 2026 ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubar secara rasmi pada Isnin, 1 Jun lepas, sekali gus memberi laluan kepada PRN.

Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Muda memperoleh satu kerusi.

KUMPULAN diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli (kanan) pula keluar PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

PRN Johor sebenarnya diadakan 10 bulan lebih awal. Ini kerana pembubaran automatik DUN Johor ialah pada 21 April tahun depan, berdasarkan persidangan penggal pertama DUN 21 April 2022, selaras dengan tempoh maksimum lima tahun sesuatu DUN.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengambil keputusan untuk menyerahkan kepada rakyat bagi mendapat mandat baru.

Selepas ini pula Melaka yang kemungkinan mengadakan PRN pada September seperti dibayangkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kerana mandatnya berakhir 27 Disember ini.

Bagaimanapun, kedudukan DUN Negeri Sembilan belum pasti lagi sama ada mahu PRN dalam tempoh terdekat bagi menangani krisis di negeri Adat Perpatih itu atau menunggu tempoh matang hingga 2028.

Negeri Sembilan mengadakan PRN pada Ogos 2023 bersama Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, jadi mandatnya lebih panjang hingga 2028. 

HUBUNGAN PAS dan Bersatu kembali tegang apabila Tan Sri Abdul Hadi Awang (kiri, depan) dilaporkan berkata, PAS akan menilai semula kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.

Kedudukan DUN Negeri Sembilan kini menjadi tumpuan, sama ada akan dibubarkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam masa terdekat atau terus bertahan buat sementara waktu, ketika sedang berdepan krisis perlembagaan dan institusi adat.

Ketetapan UMNO-PH

Jika mengikut kesepakatan UMNO dan Pakatan Harapan (PH), tidak perlu PRN bagi Negeri Sembilan sekarang untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negeri itu dan kesejahteraan rakyat.

Ia antara tiga persetujuan dan ketetapan dicapai hasil Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 5 Mei lalu.

Apakah ini juga bermakna, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kemungkinan besar diadakan tahun depan, bukan tahun ini seperti ramalan banyak pihak?.

Mungkin ramalan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu siaran podcast BFM89.9 – Bold Point Media baru-baru ini, boleh direnung kembali apabila menolak kemungkinan PRU16 diadakan tahun ini.

KITA berharap keharmonian dalam Parti Gabungan Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari terus kekal tanpa timbul masalah dalaman ketika berada diambang PRN.

Beliau percaya ia diadakan tahun depan berdasarkan ‘perang’ UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) di Johor berikutan keputusan UMNO/BN mahu bertanding semua kerusi di negeri itu.

Menurut Khairy atau KJ, sudah pasti PH dan Anwar mahu melihat dahulu apa keputusan PRN Johor setelah UMNO/BN bertindak untuk bertanding secara solo, sebelum Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan dengan itu katanya, PRU16 dijangka tahun depan.

Semuanya bergantung kepada perkiraan Anwar Ibrahim sendiri untuk menentukan kerana Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menasihati pembubaran Parlimen, tetapi kuasa perlembagaan untuk memperkenankan pembubaran terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memperkenankan atau menolak permintaan pembubaran Parlimen seperti termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Tempoh Parlimen ke-15 yang sidang pertamanya pada 19 Disember 2022, akan terbubar secara automatik pada 19 Disember 2027, dengan PRU16 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran iaitu pada 17 Februari 2028.

Ini bermakna, masih banyak lagi masa untuk pembubaran Parlimen meskipun baru-baru ini tersebar ura-ura kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal, dalam tahun ini juga.

Kocakan politik

Namun, politik negara tidak pernah sunyi sejak selepas PRU15 pada 2022 dan kebelakangan ini, pelbagai peristiwa berlaku terutama di Semenanjung.

Ada parti dalam Kerajaan Madani dilaporkan mahu ‘bercerai’ dengan bertanding secara solo pada PRU16 nanti.

Ada pula pertelingkahan dalaman tercetus dalam parti, manakala ada gabungan dalam parti pembangkang bertelingkah sesama sendiri.

Kumpulan diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli pula keluar PKR, untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Kini, PAS kembali bergelut dengan permasalahan dalaman membabitkan parti gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu.

Sungguhpun PAS sudah mengambil alih teraju kepemimpinan PN sebagai Pengerusi, namun beberapa situasi mutakhir ini, meletakkan hubungan dua parti ini kelihatannya semakin renggang.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini, antara lain dikatakan menerima laporan pesuruhjaya negeri mengenai gerakan akar umbi Bersatu yang dilihat cenderung bersama Team Reset pimpinan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Biro Politik Bersatu kemudian mengingatkan PAS supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti komponen PN berkaitan hal disiplin serta tindakan yang diambil untuk menstabilkan parti.

Hubungan PAS dan Bersatu kembali tegang apabila Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, PAS akan menilai semula kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.

Begitulah kocakan politik di Semenanjung.

Kita berharap keharmonian dalam Parti Gabungan Sarawak (GPS) terus kekal tanpa timbul masalah dalaman ketika berada diambang PRN dan peralihan kepemimpinan, jika ada.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Anjakan minda dan FDI: Impian warga Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.