Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Puspakom: Pemilihan jenis pemeriksaan penting untuk penilaian kenderaan yang tepat
  • SEMASA

Puspakom: Pemilihan jenis pemeriksaan penting untuk penilaian kenderaan yang tepat

Utusan Sarawak 3 hours ago
GAMBAR hiasan.

SHAH ALAM: Dapatan Pemeriksaan Khas (B2) yang dijalankan Puspakom Sdn Bhd menyumbang kepada keputusan tribunal yang memihak kepada pembeli kenderaan terpakai selepas pertikaian selama lapan bulan berhubung keadaan sebuah kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata kes itu menekankan kepentingan memilih jenis pemeriksaan kenderaan yang sesuai berdasarkan tujuan penggunaannya kerana setiap kategori pemeriksaan mempunyai fungsi kawal selia dan penilaian yang berbeza.

Beliau berkata kenderaan terlibat sebelum ini telah menjalani Pemeriksaan Pertukaran Hak Milik (MV15) dan Pemeriksaan Sewa Beli (B7), yang kedua-duanya dilaksanakan bagi tujuan pengesahan tertentu.

“MV15 dilaksanakan semasa proses pertukaran hak milik bagi mengesahkan identiti kenderaan serta nombor enjin dan casis, manakala B7 pula dijalankan atas permintaan institusi kewangan untuk tujuan pengesahan pembiayaan sewa beli.

“Walaupun telah melepasi pemeriksaan tersebut, pembeli kemudiannya membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan kenderaan itu dan memilih untuk menjalani Pemeriksaan Khas B2 di Puspakom Batu Maung, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mahmood berkata pemeriksaan B2 mengenal pasti ketidakpatuhan struktur pada peringkat casis, yang menyebabkan kenderaan itu gagal dalam pemeriksaan berkenaan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan itu kemudiannya dikemukakan sebagai bukti dan menyumbang kepada keputusan tribunal yang memihak kepada pembeli, sekali gus memperlihatkan perbezaan antara pemeriksaan kawal selia seperti MV15 dan B7 dengan pemeriksaan khusus seperti B2.

Katanya berbeza dengan pemeriksaan pengesahan standard, pemeriksaan B2 melibatkan penilaian struktur yang lebih menyeluruh merangkumi keadaan casis, integriti struktur, butiran pengenalan kenderaan serta pematuhan terhadap keperluan peraturan.

“Ini membolehkan sebarang isu tersembunyi seperti kerosakan akibat kemalangan terdahulu, pengubahsuaian struktur atau pembaikan besar dikenal pasti dengan lebih berkesan,” katanya.

Mahmood turut menggalakkan pemilik kenderaan mengambil pendekatan yang lebih proaktif terhadap aspek penyelenggaraan dan keselamatan kenderaan menerusi program Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (VVI) Puspakom. 

Beliau berkata VVI membantu pemilik kenderaan menilai keadaan keseluruhan, keselamatan dan kelayakan kenderaan untuk digunakan di jalan raya, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan lebih tepat berkaitan perancangan penyelenggaraan, persediaan perjalanan jarak jauh serta urusan pembelian atau penjualan kenderaan terpakai.

“Pemilihan jenis pemeriksaan yang betul penting bagi memastikan penilaian lebih menyeluruh dan tepat, selain mengelakkan sebarang isu pada masa hadapan. Puspakom juga menggalakkan orang ramai mengamalkan pemeriksaan pencegahan, khususnya menerusi VVI sebagai sebahagian daripada amalan pemilikan kenderaan yang bertanggungjawab serta meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua.

“Dengan bayaran serendah RM15, VVI menyediakan pilihan yang mudah diakses kepada pemilik kenderaan untuk memahami dengan lebih baik keadaan kenderaan mereka serta mengenal pasti sebarang masalah yang berpotensi lebih awal,” katanya.

-Bernama  

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Jangan panik jika sesat di hutan, guna formula “STOP”

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.