Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Sunway Lagoon lancar Scream Park baharu, gabung cerita rakyat tempatan dan antarabangsa
  • HIBURAN

Sunway Lagoon lancar Scream Park baharu, gabung cerita rakyat tempatan dan antarabangsa

Utusan Sarawak 4 hours ago
SUNWAY Lagoon hari ini secara rasmi memperkenalkan Scream Park yang diberi nafas baharu, menawarkan pengalaman hiburan imersif yang kian mendapat sambutan di seluruh dunia. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sunway Lagoon hari ini secara rasmi memperkenalkan Scream Park yang diberi nafas baharu, menawarkan pengalaman hiburan imersif yang kian mendapat sambutan di seluruh dunia.

Tarikan berkenaan menampilkan pelbagai elemen baharu yang menggabungkan cerita legenda rakyat Malaysia, hiburan berkonsepkan sinematik serta penceritaan bertaraf antarabangsa dalam satu pengalaman pengunjung yang menyeluruh.

Pengerusi dan Pengarah Kreatif Global Sudden Impact! Entertainment Lynton V. Harris berkata tarikan berkenaan merangkumi tiga pengalaman berbeza iaitu Hantu Hunters, Horrorwood Studios dan Oz, dengan masing-masing menampilkan perjalanan penceritaan yang unik bagi memenuhi cita rasa pelbagai lapisan pengunjung.

SUNWAY Lagoon hari ini secara rasmi memperkenalkan Scream Park yang diberi nafas baharu, menawarkan pengalaman hiburan imersif yang kian mendapat sambutan di seluruh dunia. Foto Bernama

“Scream Park telah beroperasi selama 18 tahun, jadi kami merasakan sudah tiba masanya untuk memberi nafas baharu kepada tarikan ini dan memperkenalkan sesuatu yang lebih segar, ia berbeza dengan Nights of Fright (NOF), yang bermusim dan sememangnya direka bagi memberikan pengalaman jauh lebih menyeramkan.

“Scream Park direka bagi memberikan keseronokan kepada pengunjung. Kami mahu pengunjung teruja, ketawa dan berkongsi pengalaman itu bersama-sama keluarga dan rakan-rakan, bukannya pulang dalam ketakutan. 

“Pengunjung mahukan tarikan yang menawarkan lebih daripada sekadar debaran dan kejutan, maka pengendali hiburan bertema kini beralih kepada penceritaan, teknologi dan naratif budaya untuk mencipta pengalaman yang lebih menarik serta bermakna,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Scream Park, The (Not-So) Wonderful Wizard of OZ.

SUNWAY Lagoon hari ini secara rasmi memperkenalkan Scream Park yang diberi nafas baharu, menawarkan pengalaman hiburan imersif yang kian mendapat sambutan di seluruh dunia. Foto Bernama

Harris berkata penggabungan cerita serantau penting bagi memastikan tarikan berkenaan terus mengekalkan identiti tempatan, di samping memperkenalkan kepada pengunjung antarabangsa terhadap naratif budaya yang telah lama menjadi sebahagian daripada warisan dan imaginasi kolektif masyarakat di rantau ini.

“Memandangkan Sunway Lagoon sering dikunjungi pelancong antarabangsa, justeru kami mahu menghasilkan sesuatu yang mengetengahkan kisah tempatan dan serantau, di samping kekal menghiburkan dan mudah diakses oleh semua.

”Bagi Hantu Hunters, ia memberi peluang kepada pengunjung untuk menyelami cerita rakyat serta kisah seram popular melalui pengalaman penceritaan imersif seperti Toyol, Langsuir, Orang Minyak dan Galah,” katanya.

Menurut Harris penambahbaikan itu juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan taman tema berkenaan dalam menawarkan pengalaman baharu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sambil menyatakan beliau mengambil masa hampir setahun untuk meneliti konsep terbabit kerana daya tarikannya yang kekal merentas pelbagai generasi menjadikannya sesuai dijadikan tarikan utama. 

“Kisah The Wizard of OZ pula telah melalui pelbagai evolusi, daripada buku kepada filem seterusnya pementasan Broadway, dan kini dalam adaptasi baharu seperti Wicked yang memperkenalkan cerita berkenaan kepada generasi muda.

“Ia telah berkembang menjadi jenama penceritaan global yang merentas pelbagai generasi, sekali gus menjadikannya tarikan utama paling sesuai untuk Scream Park ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran Perniagaan Sunway Theme Parks Michelle Soong berkata konsep berkenaan direka dengan teliti bagi memastikan ia sesuai untuk semua peringkat umur termasuk kanak-kanak dan dewasa, di samping mengekalkan pengalaman yang menarik dan imersif.

Beliau berkata keistimewaan tarikan itu terletak pada ciri interaktifnya serta ketelitian dalam reka bentuk dalaman, khususnya dalam usaha menghidupkan dunia penceritaan terbabit.

“Sekiranya anda sudah biasa dengan cerita asal, anda akan dapat melihat betapa banyaknya perincian serta pemikiran kreatif yang telah diterapkan ke dalam reka bentuk set dan keseluruhan pengalaman,” katanya.

Tarikan berkenaan membawa pengunjung menelusuri pelbagai lokasi ikonik seperti rumah ladang di Kansas, pengalaman taufan, Munchkinland dengan jalan batu bata kuning, Bandar Zamrud, Scary Forest dan kawasan Wicked Witch, dalam versi tafsiran lebih gelap berdasarkan karya asal The Wizard of Oz, sebelum tiba di Istana Glinda dengan selamat.

Scream Park dibuka setiap hari dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang, kecuali Selasa, namun waktu operasi tertakluk kepada perubahan semasa cuti sekolah dan cuti umum.

-Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Bintang Bollywood gesa hentikan penggunaan gajah dalam filem
Next: Bawa ‘Kata Hati’ ke layar perak, pengarah mahu cipta semula magis romantik komedi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.