
KUALA LUMPUR: Pelaburan Malaysia di Uzbekistan kini mencecah lebih AS$3 bilion, sekali gus memperkukuh hubungan ekonomi yang semakin mendalam antara kedua-dua negara.
Duta Uzbekistan ke Malaysia Karomidin Gadoyev berkata jumlah syarikat usaha sama Malaysia-Uzbekistan juga meningkat kepada 47 buah setakat Selasa.
Beliau berkata peningkatan dalam syarikat usaha sama itu membuktikan penglibatan perniagaan yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.
“Ketika saya mula tiba di Malaysia (pada 2023), terdapat kurang daripada 30 syarikat usaha sama Malaysia-Uzbekistan di Uzbekistan. Kini, kami mempunyai 47 syarikat usaha sama,” katanya pada Forum Perniagaan dan Pelancongan Uzbekistan-Malaysia yang bertemakan “Lembah Fergana – Mutiara Asia Tengah” di sini, pada Selasa.
Gadoyev berkata Kerajaan Uzbekistan telah mengamanahkan beliau untuk membawa gabenor dari Wilayah Uzbekistan ke Malaysia pada setiap bulan bagi mempromosikan lagi kerjasama perniagaan dan pelaburan.
Forum berkenaan turut dihadiri oleh Gabenor Wilayah Fergana Khayrullo Bozorov serta wakil-wakil daripada sektor perniagaan dan pelancongan dari kedua-dua negara.
Sambil menyifatkan Malaysia sebagai antara rakan ekonomi utama Uzbekistan dan rakan lama di Asia Tenggara, Gadoyev berkata perdagangan dua hala berkembang hampir 20 peratus tahun lepas, manakala eksport buah-buahan dan sayur-sayuran Uzbekistan ke Malaysia meningkat dua kali ganda.
“Tahun lepas, kami mengembangkan pusingan perdagangan kami pada 2025 hampir 20 peratus. Khususnya, kami menggandakan eksport buah-buahan dan sayur-sayuran kami ke pasaran Malaysia,” katanya.
Mengenai pelancongan, beliau berkata bilangan pelancong Malaysia ke Uzbekistan meningkat dua kali ganda tahun lepas, dengan hampir 6,000 rakyat Malaysia melawat negara itu setakat Jun ini.
Beliau menambah bahawa Uzbekistan sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk meluaskan rangkaian sambungan terus antara Malaysia dan bandar-bandar utama di Uzbekistan, termasuk Samarkand dan Bukhara.
-Bernama