Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pasukan sorak Universiti Sunway wakili Malaysia di Kejohanan Dunia FISU 2026
  • PENDIDIKAN

Pasukan sorak Universiti Sunway wakili Malaysia di Kejohanan Dunia FISU 2026

Utusan Sarawak 8 hours ago
PASUKAN Sorak Universiti Sunway akan mewakili Malaysia di Kejohanan Sorak Universiti Dunia FISU 2026 yang berprestij di Gothenburg, Sweden dari 5 hingga 7 Jun.

KUALA LUMPUR: Pasukan Sorak Universiti Sunway akan mewakili Malaysia di Kejohanan Sorak Universiti Dunia FISU 2026 yang berprestij di Gothenburg, Sweden dari 5 hingga 7 Jun.

Universiti Sunway dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyertaan bersejarah itu menandakan satu pencapaian penting bagi sukan universiti dan sorak Malaysia, apabila pasukan sorak universiti tersebut dengan bangganya membawa Jalur Gemilang ke pentas antarabangsa buat pertama kali dalam sejarah kejohanan itu.

“Mewakili Malaysia, pasukan itu akan bertanding bersama atlet pelajar dari universiti seluruh dunia dalam sebuah kejohanan yang meraikan kecemerlangan sukan, semangat, kerja berpasukan dan kepelbagaian budaya,” menurut kenyataan itu.

Universiti Sunway memaklumkan bagi memperingati penyertaan bersejarah pasukan tersebut, universiti berkenaan baru-baru ini mengadakan majlis pelepasan khas di kampus yang menghimpunkan kepimpinan universiti, pelajar, kakitangan dan penyokong untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada atlet-atlet berkenaan menjelang kejohanan itu.

Dianjurkan oleh Persekutuan Sukan Universiti Sweden, Persekutuan Sorak Sweden dan Gothenburg & Co, kejohanan itu mencerminkan nilai-nilai teras yang diperjuangkan oleh Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa, iaitu kecemerlangan, semangat dan kerja berpasukan, di samping mengetengahkan kepelbagaian akademik serta budaya yang dibawa oleh institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian dari seluruh dunia. 

Presiden Pasukan Sorak Universiti Sunway, Nicholas Low Kah Hung berkata mereka cukup berbangga dan teruja untuk mewakili Malaysia di Kejohanan Sorak Universiti Dunia FISU.

“Kami akan memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Universiti Sunway atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang penglibatan kami,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata peluang itu akan membolehkan mereka mempamerkan semangat, dedikasi dan kerja berpasukan atlet universiti Malaysia, sambil membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Education Group Prof Datuk Elizabeth Lee berkata pencapaian itu merupakan detik yang cukup bermakna bagi Malaysia dan Universiti Sunway.

“Peluang yang diberikan kepada pasukan sorak kami untuk mewakili negara di pentas antarabangsa mencerminkan bakat, daya tahan dan keazaman luar biasa yang dimiliki pelajar-pelajar Sunway. Kami mendoakan yang terbaik buat mereka di Gothenburg,” katanya.

Universiti Sunway turut mengulangi komitmennya untuk melahirkan siswazah yang cemerlang dalam pelbagai bidang, bukan sahaja akademik dengan memperkasakan pelajar menerusi peluang dalam kepimpinan, sukan, inovasi dan penglibatan global.

“Penyertaan pasukan ini menonjolkan lagi kehadiran Malaysia yang semakin menyerlah dalam sukan universiti antarabangsa sambil memberi inspirasi kepada generasi baharu atlet pelajar Malaysia untuk mengejar kecemerlangan dan peluang di peringkat global dengan penuh keyakinan serta bercita-cita tinggi,” menurut kenyataan itu.

-Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Penglibatan ibu bapa, komuniti penting dalam pelaksanaan RPM 2026-2035

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.