
LINGGA: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki bersama lapan individu lain karam akibat merempuh tiang jambatan di Sungai Banting, Lingga, petang ini.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Gerald Lansam, berusia 42 tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan media mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada 1.15 petang.
”Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman bersama jentera Hilux dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai,” katanya.
Menurut kronologi kejadian, perahu yang dinaiki sembilan orang tersebut dilaporkan mengalami kerosakan enjin secara tiba-tiba.
Kegagalan enjin itu menyebabkan perahu berkenaan hanyut lalu melintang pada tiang jambatan sebelum terbalik akibat dipukul arus deras.
Hasil tindakan pantas, lapan daripada penumpang perahu berkenaan berjaya diselamatkan oleh orang kampung yang berada di sekitar kawasan kejadian dengan menggunakan perahu mereka sendiri.
Bagaimanapun, mangsa (Gerald) yang ketika itu dilihat sempat berpaut pada tiang jambatan gagal diselamatkan.

Ketika penduduk kampung cuba menghampiri untuk menghulurkan bantuan, mangsa didapati telah tenggelam dan dibawa pergi oleh arus deras sungai berkenaan.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Fadli Buyong segera dilancarkan sejurus pasukan penyelamat tiba di lokasi pada 2.45 petang.
Buat masa ini, anggota bomba bersama-sama penduduk kampung sedang giat menjalankan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar radius kawasan mangsa kali terakhir dilihat dengan menggunakan perahu orang kampung.
Operasi SAR turut dibantu oleh dua anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setakat ini, status mangsa masih belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke semasa.
Oleh Adi Safarman