
JAKARTA: Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia sedang memetakan profil genetik virus yang terdapat pada hidupan liar yang diperdagangkan di Sulawesi Utara bagi memperkukuh pengesanan awal penyakit yang berpotensi mencetuskan pandemik, lapor Xinhua.
Projek yang dijalankan dengan kerjasama Pusat Persediaan Penyakit Australia itu kini memasuki tahun kedua dan memberi tumpuan kepada pengawasan genomik virus daripada keluarga Coronaviridae, Orthomyxoviridae, dan Paramyxoviridae yang ditemukan pada kelawar, tikus serta burung.
“Projek ini merupakan langkah progresif bagi BRIN untuk memudahkan pemindahan pengetahuan dan menyelaraskannya dengan piawaian penyelidikan global,” kata Andes Hamuraby Rozak, ketua Organisasi Penyelidikan Sains Hayat dan Alam Sekitar BRIN pada Isnin.
Kedua-dua pihak turut mengesahkan protokol makmal dan memperluas penggunaan teknologi penjujukan generasi baharu bagi menambah baik pemantauan serta pencirian virus.
BRIN menyatakan bahawa hasil penemuan tersebut dijangka dapat menyokong pembangunan sistem amaran awal bagi penyakit zoonotik dan memperkukuh keselamatan kesihatan serantau. – Bernama