
SERIAN: Di sebalik kemeriahan Perarakan Birarak Gawai Taee ke-56 yang menghimpunkan ribuan pengunjung hari ini, tumpuan turut terarah kepada dua figura yang berjalan megah di hadapan perarakan , Kumau dan Kaleng 2026.
Berpakaian lengkap dengan busana tradisional Bidayuh yang dihiasi aksesori warisan turun-temurun, mereka bukan sekadar peserta perarakan, sebaliknya simbol kepada usaha berterusan masyarakat Bidayuh dalam memelihara adat dan budaya yang diwarisi sejak generasi terdahulu.
Dalam masyarakat Bidayuh, gelaran Kumau dan Kaleng mempunyai kedudukan tersendiri, seiring dengan peranan Kumang dan Keling dalam masyarakat Iban.
Mereka dipilih bukan sahaja berdasarkan penampilan, malah turut dinilai daripada aspek pengetahuan mengenai adat, budaya serta keupayaan menjadi duta kepada warisan etnik tersebut.
Tahun ini, penghormatan mengetuai perarakan diberikan kepada Kaleng 2026, Norman Naim, 29, dari Tebedu dan Kumau 2026, Valysha Wong Xin Yub yang berdarah kacukan Cina-Bidayuh.

Bagi Norman, kemenangan yang diraih pada malam kemuncak sambutan Gawai semalam membawa makna yang cukup besar kerana ia merupakan penyertaan pertamanya dalam pertandingan berasaskan budaya Bidayuh di Daerah Serian.
Katanya, platform seperti Kumau dan Kaleng penting dalam menarik minat generasi muda untuk lebih mengenali serta menghargai identiti masyarakat Bidayuh yang semakin berdepan cabaran arus pemodenan.
“Apabila saya melihat ramai anak muda mengenakan pakaian tradisional sepanjang sambutan Gawai, ia memberikan satu perasaan bangga kerana budaya kita masih terus dihargai dan diamalkan,” katanya.
Sementara itu, Valysha menyifatkan kemenangan tersebut sebagai peluang untuk berkongsi keunikan budaya Bidayuh dengan masyarakat luar yang mungkin belum memahami makna di sebalik setiap busana dan aksesori tradisional yang dipakai.
Menurutnya, setiap perhiasan yang digayakan mempunyai sejarah tersendiri, malah ada antaranya merupakan pusaka keluarga yang diwariskan sejak zaman nenek moyang.
“Busana yang kami pakai bukan sekadar pakaian tradisional. Di sebaliknya terdapat kisah, identiti dan nilai yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya,” katanya.
Beliau turut melihat penyertaan pelbagai kampung dalam pertandingan dan perarakan tersebut sebagai bukti semangat perpaduan yang terus utuh dalam kalangan masyarakat Bidayuh.
Ketika perarakan bergerak merentasi Kampung Taee, kehadiran Kumau dan Kaleng di hadapan barisan peserta seolah-olah menjadi jambatan yang menghubungkan masa lalu dengan masa kini, mengingatkan generasi muda bahawa warisan budaya bukan sekadar untuk dikenang, tetapi perlu terus dipelihara dan dibanggakan.
Dalam era yang semakin moden, kehadiran mereka bukan sahaja menyerikan sambutan Gawai, malah menjadi bukti bahawa budaya Bidayuh masih hidup, terus berkembang dan kekal relevan dalam jiwa generasi hari ini.
Oleh Shahrul Qaizat