

WASHINGTON: Tiga maut dan puluhan lagi cedera dalam kejadian puting beliung dihasilkan ribut musim sejuk manakala jutaan penduduk di selatan dan tengah Amerika Syarikat (AS) terputus bekalan elektrik.
Bayu artik itu juga membawa suhu sejuk melampau di kebanyakan negeri di AS termasuk Texas sehingga syarikat utiliti di negeri itu terpaksa menutup bekalan elektrik bergilir-gilir bagi mengurangkan bebanan akibat penggunaan tinggi penduduk.
Menurut Weather.com yang berpangkalan di Atlanta, puting beliung di persisir North Carolina lewat malam kelmarin, mengorbankan tiga orang dan mencederakan 10 lagi di Brunswick County.
“Dianggarkan 50 rumah terjejas dalam kejadian itu dan banyak talian elektrik rosak menyebabkan gangguan bekalan elektrik,” kata Perkhidmatan Kecemasan Brunswick County dalam satu kenyataan.
Foto dan video yang disiarkan oleh media AS menunjukkan pokok tumbang, rumah dan kenderaan musnah dalam kejadian puting beliung berkenaan.
Menurut laman pengesanan Poweroutage.us, lebih daripada empat juta pelanggan kediaman, komersial dan industri di Texas terputus bekalan elektrik pagi semalam.
Suhu di Houston turun sehingga -12 darjah celcius dan Gabenor Texas, Greg Abbott, mengeluarkan deklarasi bencana di negeri itu dan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NSW) melaporkan lebih 150 juta penduduk AS sudah dimaklumkan mengenai amaran ribut.
NSW juga berkata, ribut musim sejuk sedang bergerak menuju timur laut AS.
Presiden AS, Joe Biden, mengeluarkan deklarasi kecemasan pagi kelmarin dengan menawarkan bantuan persekutuan bagi menyokong kerajaan negeri menangani bencana alam itu.
Jalan diliputi ais turut mengakibatkan banyak kemalangan termasuk yang membabitkan 100 kenderaan di Fort Worth, Texas minggu lalu sekali gus mengakibatkan enam orang terbunuh. – AFP