Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pengalaman wukuf di Arafah ibarat babak imbas kembali kehidupan – Jurey Latiff
  • SEMASA

Pengalaman wukuf di Arafah ibarat babak imbas kembali kehidupan – Jurey Latiff

Utusan Sarawak 5 hours ago
JEMAAH haji dari seluruh pelusuk dunia membanjiri Jabar Rahmah bagi memanjatkan doa, berzikir dan bermunajat pada hari wukuf di Padang Arafah. Foto AFP

MAKKAH: Pengalaman berwukuf di Padang Arafah disifatkan sebagai detik paling menyentuh jiwa yang membawa seseorang mengimbas kembali seluruh perjalanan hidup termasuk kesilapan, dosa dan kenangan silam yang pernah dilalui.

Pengalaman itu dikongsi Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia Datuk Jurey Latiff Mohd Rosli yang menyifatkan suasana ketika bermunajat di Arafah seolah-olah memperlihatkan semula setiap episod kehidupan, umpama babak imbas kembali yang sering dipaparkan dalam karya filem. 

“Kalau dalam bahasa filem, ketika berada di Arafah itu seperti satu babak flashback. Semua perjalanan hidup, kesilapan, dosa dan perkara yang pernah kita lakukan bermain dalam fikiran.

“Bezanya dalam filem, emosi itu dibantu dengan muzik, visual dan lakonan. Di Arafah, semuanya datang secara semula jadi. Air mata mengalir tanpa dipaksa kerana kita benar-benar merasai keinsafan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tokoh industri kreatif yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang penerbitan rancangan televisyen itu berkata pengalaman menunaikan haji mengajarnya bahawa kehidupan sebenar jauh lebih menyentuh berbanding mana-mana karya yang pernah dihasilkan.

Beliau yang terkenal dengan filem KL Menjerit berkata jutaan jemaah yang berkumpul di Padang Arafah dengan satu tujuan iaitu memohon keampunan daripada Allah SWT mencipta suasana yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Masa itulah kita sedar tiada siapa yang sempurna. Semua orang berdoa, menangis dan mengharapkan rahmat Allah SWT. Ia menjadi antara momen paling memberi kesan kepada saya sepanjang menunaikan haji,” katanya.

Di sebalik pengalaman rohani yang mendalam itu, Jurey Latiff turut berkongsi pengalamannya sebagai Sahabat Maktab yang membantu petugas Lembaga Tabung Haji (TH) dalam mengurus kebajikan jemaah Malaysia.

Beliau berkata antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika bertugas di Mina apabila menemukan seorang jemaah wanita warga emas dari Tawau, Sabah yang sesat hampir sejam selepas keluar dari khemahnya untuk ke tandas.

“Apabila saya jumpa makcik itu, dia sudah menangis dan terlalu letih. Dia tunjuk satu khemah dan kata itu tempat dia tinggal, tetapi sebenarnya itu kawasan jemaah lelaki.

“Masa itulah saya faham kenapa ada jemaah boleh sesat. Dari satu sudut, semua blok dan khemah kelihatan hampir sama, terutama bagi warga emas yang keletihan,” katanya sambil menambah beliau kemudian membawa wanita berkenaan menggunakan kerusi roda ke klinik TH sebelum menyerahkannya kepada petugas.

Tidak lama kemudian, beliau dimaklumkan bahawa jemaah tersebut berjaya dipertemukan semula dengan suaminya dan kembali ke khemah dengan selamat.

Jurey Latiff berkata kebanyakan kes jemaah tersesat yang dijumpainya berpunca daripada kegagalan membawa kad Nusuk ketika keluar dari khemah.

Mengulas penglibatannya sebagai Sahabat Maktab, beliau berkata semangat kesukarelawanan itu bukan sesuatu yang asing dalam keluarganya kerana arwah bapanya yang menunaikan haji pada 2000 juga pernah berkhidmat dalam peranan yang sama.

“Saya rasa mungkin semangat itu datang daripada arwah bapa saya. Apabila diberi peluang membantu jemaah dan petugas TH, saya anggap ia satu amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kemuncak sambutan Gawai Peringkat Negeri pada 21 Jun di Kuching
Next: Ribut petir, hujan lebat diramal landa tujuh negeri termasuk Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.