
KAPIT: Sebuah bilik dapur yang terletak berasingan di belakang sebuah rumah panjang di Nanga Entawau, Balleh musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, namun tindakan pantas penduduk berjaya mengawal api daripada merebak ke bahagian utama rumah panjang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.11 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi.
Menurutnya, lokasi kejadian terletak kira-kira 95 kilometer dari balai dan perjalanan mengambil masa hampir satu jam 30 minit melalui laluan sempit serta bertanah.
“Maklumat awal daripada pelapor memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah bilik dapur yang dibina berasingan di belakang rumah panjang. Bagaimanapun api berjaya dikawal dan dipadamkan oleh penduduk sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan oleh penduduk menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan sumber air daripada pili bomba.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. Pasukan bomba tidak menjalankan operasi pemadaman kerana api telah dipadamkan sepenuhnya sebelum ketibaan mereka.
Anggota bertugas melakukan pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula dan keadaan benar-benar selamat.
Oleh Akun Giman