Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Ngabang, rumah panjang dan lagu lama hidupkan memori Gawai generasi muda Sarawak 
  • TEMPATAN

Eksklusif: Ngabang, rumah panjang dan lagu lama hidupkan memori Gawai generasi muda Sarawak 

Utusan Sarawak 3 hours ago
JACKLYN Chan melihat musim Gawai sebagai ruang menghidupkan kembali memori budaya Bidayuh melalui tradisi bijarah dan hidangan pangkang dalam buluh.

KUCHING: Di Sarawak, Gawai bukan sekadar satu tarikh dalam kalendar. Di sebalik perubahan gaya sambutan moden di bandar, Gawai masih berakar kuat pada ruang-ruang tradisi seperti rumah panjang, ngabang dari pintu ke pintu, serta pertemuan keluarga yang menjadikan musim ini lebih daripada sekadar perayaan menuai padi.

CHRISTOPHER Renggi Leonard mengaitkan pengalaman Gawai dengan suasana rumah panjang dan kenangan mengikuti Gendang Rayah di Betong.

Apa yang menjadikan Gawai unik di Sarawak bukan hanya pada ritual dan adatnya, tetapi cara setiap generasi mengingatinya melalui bunyi, lagu dan ruang yang berbeza, namun masih bertemu dalam suasana yang sama.

Bagi generasi muda yang membesar dalam landskap budaya ini, Gawai hadir sebagai gabungan memori, identiti dan pengalaman sosial yang sukar digantikan.

Tinjauan Utusan Sarawak mendapati pengalaman Gawai dalam kalangan generasi muda banyak berakar pada latar keluarga, kampung dan persekitaran rumah panjang yang membentuk memori masing-masing.

Bagi Jacklyn Chan, 28, dari Kuching yang kini melalui kehidupan berkeluarga dalam suasana baharu, Gawai banyak berpaut pada kenangan membesar dengan pengaruh budaya Bidayuh di sebelah keluarga ibunya.

Musim ini baginya bermula dengan perjalanan pulang dan berakhir dengan suasana kampung yang penuh suara keluarga serta makanan tradisi.

Antara yang masih melekat ialah aktiviti ‘bijarah’ dari rumah ke rumah serta hidangan pangkang dalam buluh.

DARLENE Aliya Dublin Griak melihat Gawai sebagai ruang pertemuan antara tradisi dan moden melalui adat miring dan pertandingan Kumang Gawai.

“Apabila mendengar sambutan Hari Gawai, saya terus terbayang kemeriahan budaya yang penuh dengan tradisi serta semangat kekeluargaan yang begitu kuat,” katanya.

Lagu Kampung Love dari kumpulan kugiran Bidayuh Acid Rain menjadi antara yang paling dekat dengan memorinya setiap kali musim Gawai tiba.

Christopher Renggi Leonard, 20, dari Samarahan yang berdarah Melanau, pula melihat Gawai sebagai perayaan yang hidup dengan bunyi dan pergerakan tanpa henti.

Baginya, ia bukan sekadar balik kampung tetapi kembali kepada ruang sosial yang dipenuhi muzik dan pertemuan keluarga besar.

“Antara pengalaman terindah adalah mengikuti Gendang Rayah kerana ia berkait dengan legasi keluarga saya,” katanya.

Untuknya, instrumental sape menjadi bunyi paling dekat dengan Gawai kerana sifatnya yang lebih tenang di tengah kemeriahan rumah panjang.

ALLAN Wan Simon mengingati suasana upacara ranyai dan nyanyian lagu Bekikis Bulu Betis sebagai simbol kebersamaan di rumah panjang.

Di rumah panjang, Gawai bergerak sebagai ruang kolektif yang menghubungkan setiap pintu dan setiap keluarga.

Itulah pengalaman yang paling dekat dengan Danielle Lanneh Franky, 20, dari Miri yang membesar dalam keluarga Kelabit di sebelah ibunya.

Bagi beliau, ngabang bukan sekadar tradisi tetapi cara masyarakat berhubung tanpa jarak.

“Menziarahi atau ngabang setiap pintu di rumah panjang dan mencuba hidangan tradisi adalah pengalaman utama,” ujarnya.

Alunan sape juga menjadi latar yang memberi keseimbangan di tengah suasana perayaan yang meriah.

Bagi Darlene Aliya Dublin Griak, 20, dari Kuching yang membesar dalam keluarga Iban dan Cina, Gawai menjadi ruang yang mana tradisi dan perubahan bergerak seiring.

Walaupun adat seperti miring masih diamalkan, sambutan kini lebih moden tanpa menghilangkan akar budaya.

Pertandingan Kumang Gawai menjadi ruang untuk memastikan tradisi itu terus hidup dalam bentuk yang lebih segar.

“Pertandingan Kumang Gawai sering dianjurkan setiap tahun bagi memastikan adat serta tradisi ini terus dikekalkan,” katanya.

ELWEN Ogos melihat Gawai sebagai lambang keterbukaan masyarakat Sarawak yang diraikan merentas latar budaya dan agama di negeri ini.

Lagu Rami Gawai dendangan Ramles Walter menjadi pilihannya kerana iramanya yang ceria dan sering menghidupkan suasana perayaan.

Turut berkongsi memori Gawai, Allan Wan Simon, 19, dari Kuching membesar dalam persekitaran keluarga Kenyah dan Iban, menjadikan rumah panjang sebagai ruang pembelajaran budaya sejak kecil.

Upacara ranyai, ngabang serta persembahan tarian tradisional menjadi antara pengalaman yang kekal dalam ingatan.

“Suasana upacara ranyai, ngabang, makan bersama di rumah panjang dan melihat persembahan tarian tradisional masih saya ingat sampai sekarang,” katanya.

“Setiap musim Gawai, lagu Bekikis Bulu Betis menjadi simbol kebersamaan yang menandakan suasana perayaan sudah bermula,” tambahnya. 

Dalam suasana yang lebih meriah, Bryan Ingkas Lating, 20, dari Kapit yang membesar dalam keluarga Iban dan Bidayuh, mengingati Gawai sebagai momen apabila semua orang berkumpul tanpa jarak.

BRYAN Ingkas Lating menyifatkan momen menyanyi beramai-ramai lagu Gawai sebagai antara kenangan paling hidup dalam suasana perayaan di Kapit.

Menyanyi beramai-ramai menjadi antara pengalaman paling sukar dilupakan.

“Masa itu memang ramai, lebih 15 orang sekali nyanyi. Memang betul-betul hidup suasana Gawai,” katanya.

Beliau turut menyebut lagu Bekikis Bulu Betis sebagai lagu wajib suasana Gawai, selain lagu berunsur tradisi berbahasa Kenyah seperti Lan e Tuyang yang sering didengari dalam suasana rumah panjang.

Sementara itu, Elwen Ogos, 28, dari Sibu yang membesar dalam keluarga Iban dalam komuniti Islam, melihat Gawai sebagai simbol keterbukaan masyarakat Sarawak yang hidup dalam kepelbagaian budaya.

Walaupun berakar daripada tradisi Dayak, sambutan itu kini diraikan merentas latar sosial.

“Di Sarawak, semua kaum dialu-alukan untuk menyambut Gawai dan ia diraikan bersama tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Kata Elwen, lagu Buka Pintu Buka menjadi pilihan kerana sering berkumandang di rumah panjang dan melengkapkan suasana perayaan yang terbuka dan hidup.

ELWEN Ogos melihat Gawai sebagai lambang keterbukaan masyarakat Sarawak yang diraikan merentas latar budaya dan agama di negeri ini.

Di hujungnya, Gawai di Sarawak tidak hanya berdiri sebagai perayaan tradisi. Ia kekal sebagai ruang yang mengikat memori, bunyi dan hubungan manusia yang terus berulang setiap tahun, walaupun zaman berubah.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Hanya di Sarawak, Gawai diraikan dalam suasana pelbagai kaum 
Next: Isu tambang penerbangan mahal perlu diselesaikan menjelang Gawai akan datang – Abang Johari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.