
LIMBANG: Sambutan Hari Wesak di daerah ini berlangsung dalam suasana meriah, aman dan harmoni apabila penganut Buddha memenuhi tokong-tokong serta pusat keagamaan bagi melaksanakan pelbagai upacara keagamaan hari ini.
Persatuan Buddha Limbang turut menganjurkan sambutan Hari Wesak di bangunan persatuan itu di Jalan Sungai Kaban bermula pada 9.00 pagi yang dihadiri lebih 200 penganut Buddha.
Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang terbuka kepada orang ramai.

Selain itu, persatuan berkenaan mengadakan jamuan makanan vegetarian serta majlis puja Wesak pada sebelah malam bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan tersebut.
Menurut wakil Persatuan Buddha Limbang, antara aktiviti yang diadakan sempena Hari Wesak ialah upacara menyalakan colok, menabur bunga dan memandikan patung Buddha.
Selain itu, orang ramai turut dijemput menyertai pelbagai aktiviti lain seperti minum teh bersama, menyalin sutra, aktiviti mewarna untuk kanak-kanak serta bengkel kaligrafi.
Katanya, program yang dianjurkan bukan sahaja bertujuan memperingati Hari Wesak, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di daerah ini.
Oleh Adeng Edrus