
KUALA LUMPUR: Penggunaan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan umur untuk menghalang individu di bawah 16 tahun membuka akaun media sosial akan melindungi data pengguna daripada ancaman siber dan mencegah maklumat sensitif dikumpulkan oleh syarikat teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata sistem pengesahan identiti kerajaan itu bertindak sebagai lapisan keselamatan, memastikan platform berkenaan tidak mempunyai akses kepada maklumat asas peribadi pengguna.
Menyentuh kebimbangan mengenai kerahsiaan data, beliau berkata sistem itu menghapuskan keperluan pengguna untuk berkongsi maklumat sensitif merentasi pelbagai platform media sosial yang sering menjadi sasaran penggodam.
“MyDigital ID tidak memerlukan pengguna untuk menghantar atau menyimpan salinan ID fizikal selain juga tidak menyimpan data biometrik seperti cap jari atau imej wajah.
“Sebaliknya, ia mengesahkan pengguna melalui rekod rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memastikan data sensitif kekal dalam sistem kerajaan yang selamat dan dipercayai,” katanya kepada Bernama.
Megat Zuhairy berkata dari perspektif keselamatan siber, pendekatan itu dengan ketara mengurangkan risiko pendedahan data dengan mewujudkan satu lapisan pengesahan yang selamat.
Beliau berkata platform media sosial hanya akan menerima pengesahan yang diperlukan seperti jika pengguna memenuhi syarat umur tanpa mendapat akses kepada butiran peribadi tertentu.
“Objektifnya jelas, iaitu membolehkan pengesahan tanpa memperluas ruang serangan. Dengan mengehadkan perkongsian data, mengelak pertindihan dan memusatkan pengesahan dalam sistem nasional yang selamat, kita boleh melindungi kanak-kanak dalam talian tanpa menjejaskan privasi mereka,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan menguatkuasakan dasar penyimpanan yang ketat untuk melindungi pengguna.
“Data peribadi disimpan hanya selama yang diperlukan dan mengikut keperluan undang-undang dengan langkah perlindungan disediakan bagi mencegah penyalahgunaan, akses tanpa kebenaran atau penyimpanan yang tidak perlu,” katanya.
Megat Zuhairy berkata pengesahan pengguna menerusi MyKad fizikal yang digabungkan dengan pengecaman muka secara langsung melalui MyDigital ID jauh lebih selamat daripada menggunakan alamat e-mel palsu, sekali gus meningkatkan halangan kepada remaja yang cuba melangkau peraturan.
Mengakui remaja yang bertekad mungkin akan terus mencari kelemahan sistem, beliau berkata kerajaan secara proaktif sedang memperkukuh kerangka undang-undang.
Beliau berkata pembentangan Rang Undang-undang Jenayah Siber dijangka memperkenalkan kesalahan khusus berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan identiti digital seperti pendedahan kata laluan tanpa kebenaran atau perbuatan membekalkan kelayakan identiti digital orang lain.
“Ini penting kerana ia memperkukuh akauntabiliti dan memastikan penyalahgunaan identiti digital dapat ditangani dengan berkesan mengikut undang-undang,” katanya.
Menyifatkan langkah Malaysia memperkenalkan had umur sebagai langkah yang tepat, Megat Zuhairy berkata negara ini tidak bertindak bersendirian, sebaliknya sebahagian daripada peralihan global yang lebih luas untuk melindungi pengguna muda dengan lebih baik daripada kandungan berbahaya, buli siber dan eksploitasi dalam talian.
Pengguna media sosial akan dikehendaki menyediakan pengenalan rasmi yang dikeluarkan kerajaan untuk pengesahan umur berikutan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) berkuat kuasa 1 Jun.
Dua kod yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) serta Kod Pengurangan Risiko (RMC) melibatkan pengguna perlu memuat naik dokumen dikeluarkan kerajaan untuk membuat pengesahan umur bagi menghalang mereka di bawah 16 tahun membuka akaun media sosial.
-Bernama