
DEBAK: Polis berjaya menahan sembilan lelaki tempatan yang berusia antara 23 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan berhubung satu insiden pergaduhan yang tular di media sosial dan berlaku di sebuah premis kedai di Pasar Debak baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong telah membuka satu kertas siasatan susulan kejadian tersebut selepas menerima laporan polis pada 11.56 pagi, semalam.
Menurut beliau, video dan gambar kejadian yang tular di Facebook telah membantu siasatan polis dalam mengenal pasti individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.
“Pada 29 Mei, antara 2.30 petang hingga 4.00 petang, seramai sembilan lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 35 tahun berjaya dikesan dan ditahan di beberapa lokasi sekitar Pusa dan Debak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek telah direman selama empat hari bermula 29 Mei hingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Menurut DSP Wan Mohamad Ali, dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis ketamin manakala selebihnya negatif.
Siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada pertelingkahan kecil antara dua individu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan saling mengenali antara satu sama lain sebelum keadaan menjadi tidak terkawal apabila beberapa rakan mereka turut bertindak agresif.
Katanya, orang awam yang berada di lokasi kejadian ketika itu hanya cuba meleraikan pergaduhan dan tidak terlibat dalam insiden berkenaan.
Tiada kecederaan serius dilaporkan dan siasatan juga mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur gangsterisme.
DSP Wan Mohamad Ali turut mengucapkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan serta mengganggu ketenteraman awam di Daerah Betong.
Oleh Adi Safarman