
KUALA LUMPUR: Jaguh pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi mempamerkan larian bertenaga apabila mencatatkan 10.13 saat (s) dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan NCAA Pusingan Pertama Bahagian Timur di Lexington, Kentucky, Amerika Syarikat, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan atlet kelahiran Perak berkenaan kini berada di landasan tepat untuk mencabar semula rekod kebangsaan miliknya iaitu 10.09s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada 2022.
Catatan dibuat itu juga merupakan rekod terbaik musim ini buat pelumba berusia 22 tahun berkenaan, dengan beliau turut menamatkan saingan pusingan pertama di kedudukan ke-12 daripada keseluruhan 47 pelari yang mengambil bahagian.
Pencapaian tersebut sekali gus mengesahkan slot buat Muhammad Azeem untuk beraksi di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
Sementara itu, Olahraga Malaysia (MA) menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya berharap Muhammad Azeem terus fokus dalam perjuangannya dengan mengingatkan bahawa badan induk tersebut sentiasa teguh di belakangnya dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. – Bernama