
LAWAS: Sepasukan polis telah menahan seorang wanita berusia 22 tahun yang bekerja di sektor swasta kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keldai akaun.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, penahanan dilakukan pada 26 Mei 2026 kira-kira 5.23 petang.
“Suspek ditahan berdasarkan dua laporan kes yang dibuat di Pulau Pinang pada 19 Oktober 2023 dan di Sandakan, Sabah pada 20 Oktober 2023, yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Berdasarkan siasatan, kedua-dua mangsa telah melakukan transaksi kewangan ke beberapa akaun termasuk akaun milik suspek.


“Mangsa pertama dari Pulau Pinang mengalami kerugian sebanyak RM4,399, manakala mangsa kedua dari Sandakan, Sabah mengalami kerugian sebanyak RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, sepasukan polis turut menahan dan memeriksa tiga lelaki tempatan berusia 52 tahun, 51 tahun dan 38 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di hadapan sebuah rumah di RKB Lawas.
Hasil pemeriksaan badan terhadap ketiga-tiga suspek tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah.
Namun, hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada 24 Mei 2026 di bandar Lawas, sepasukan polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang merupakan penganggur kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan tubuh badan terhadap suspek tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kejadian berasingan pada 22 Mei 2026, sepasukan polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang bekerja sebagai buruh kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan tubuh badan terhadap suspek tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus