

SIBU: Semangat pengorbanan dan perpaduan terus disemarakkan menerusi majlis Sambutan Aidiladha dan Program Ibadah Korban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di Surau Darul Huda, IPD Sibu, semalam.
Program tersebut dihadiri seramai 332 peserta terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, pegawai awam polis, ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) serta jemputan lain.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon bersama isteri, Dr Nurzeiti Yuslinda Yusoff selaku Pengerusi PERKEP IPD Sibu, serta Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Balamurugan Govindan.
Acara dimulakan dengan solat sunat Aidiladha sebelum diteruskan dengan jamuan bersama warga kerja IPD Sibu.
Program ibadah korban turut dilaksanakan melibatkan sembelihan tiga ekor lembu sebelum daging korban diagihkan kepada warga IPD Sibu, golongan mualaf, Persatuan Anak Yatim (PERYATIM) Sibu, Jabatan Penjara Sibu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), wakil media Bernama serta petugas program.
Penganjuran program itu bertujuan menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S selain memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan nilai berkongsi rezeki dalam kalangan warga polis serta masyarakat setempat.
Majlis berkenaan diharap dapat terus memperkukuhkan ukhuwah dan menyemai nilai murni dalam kalangan warga kerja IPD Sibu dan komuniti.
Oleh Akun Giman