
DALAM menukang sajak, proses memilih dan menyaring kata-kata merupakan antara unsur yang paling penting dalam menentukan kekuatan sesebuah karya. Kata-kata yang dipilih perlu berupaya menyampaikan makna, membentuk imej, simbol, emosi dan suasana yang menyokong keseluruhan binaan sajak.
Setiap kata ibarat tiang yang menegakkan ‘rumah sajak’. Jika ada kata yang tidak tepat atau tidak sesuai dengan konteks, keseluruhan makna dan kesan sajak boleh terganggu.
Oleh sebab itu, penyair perlu berhati-hati dalam penggunaan diksi, imbuhan, ganti nama dan simbol agar pengalaman luaran dan dalaman yang ingin disampaikan dapat diterima dengan jelas oleh khalayak pembaca.
Ketelitian memilih diksi, penggunaan simbol, kesatuan imej dan ketepatan bentuk amat penting agar makna sajak dapat sampai kepada pembaca dengan lebih berkesan.
Setiap kata, imej dan simbol yang membina sajak harus mempunyai peranan dan saling bertautan agar mampu seiring dengan kesatuan idea dan makna.
Penyajak mesti berusaha mengelakkan penghasilan diksi yang janggal, imbuhan kata yang tidak tepat, imej atau citra yang terlalu peribadi, bercampur aduk, tiada kesinambungan dan mempunyai erti yang menyanggah logika bahasa serta menimbulkan kekaburan dan kekeliruan.
Diksi sajak harus melalui saringan dan pengeraman yang berulang agar menjadi terpilih, terkawal dan matang. Penyajak hendaklah selalu bertengkar dengan kata-kata dalam proses memperhalus dan memurnikan draf sajak.
Apa yang penting mereka harus sentiasa teliti dan berhati-hati ketika memilih dan menyaring setiap kata. Di samping memperkaya perbendaharaan bahasa dan imaginasi.
Dalam pemilihan dan penyusunan kata, penyair dituntut memiliki kemampuan kreativiti, intuisi dan imaginasi. Dengan demikian, bahasa sajak yang biasa dan sederhana akan berubah menjadi penuh imaginatif dan luar biasa menemui keindahan makna.
Hal ini pernah diungkapkan oleh Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh melalui sajaknya, “Selonggok Kata-kata” yang dipetik daripada kumpulan sajak, Jatuh ke Laut Menjadi Pulau, Jilid III (ITBM, 8: 2014) seperti berikut:
pada suatu hari
seperti suatu janji longgar
di usia yang terseka oleh peka
kutemui selonggok kata-kata,
darinya kukumpul
dan susun suatu dunia.
bunyinya kuasah pada suara,
sedihnya pada gurau,
ketawanya dengan derita.
inikah cakerawalanya
dilukis oleh tebar makna,
rupa ucap dan jatung kata
semuanya dikutip dari sungai tohor waktu
terendam dalam lagu pujangga
Atau terlantar di gurun sejarah.
bahasa membina dunia
menyusun diri
dan memberi layangan pengalaman.
seperti penjala
aku menanggap setebar daerah
dan ikan langgam makna.
Setiap penyajak akan berusaha untuk memilih dan menyaring kata-kata dengan sebaik mungkin mengikut kecenderungan dan tahap kemampuan serta kematangan masing-masing.
Begitulah juga dengan tiga orang penyajak muda yang sajak mereka akan dibincangkan dalam tulisan ini. Terlebih dahulu, syabas kerana sajak-sajak mereka telah disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada minggu sebelum ini.
Muhammad Hafiz Berahim melalui sajaknya yang berjudul “Tumit di Tanah Suci” membicarakan tentang pengalaman zahir dan batin ketika mengerjakan ibadah umrah atau haji di tanah suci:
Tumit itu bukan sekadar kulit —
ia padang sabar yang menanggung doa.
Setiap rekah menyimpan air mata,
debu menjadi zikir yang tidak bersuara.
Dia datang tanpa beg,
hanya keberanian di dada.
Langkahnya luka, tapi tekadnya tidak berdarah.
Setiap tapak, sepotong surah redha.
Aku malu,
kerana kasutku lebih selesa daripada imanku.
Air zamzam terasa mewah di mulut yang sering lupa syukur.
Sedang dia meneguk sabar dalam setiap hela nafas.
Malam itu aku tersedar —
Allah tidak selalu bersuara;
kadang Dia menegur melalui pandangan
yang membuat jiwa sujud.
Penyajak mengangkat “tumit” sebagai lambang pengorbanan, kesabaran, ketabahan dan keikhlasan dalam perjalanan kerohanian.
Dapat dikesan beberapa diksi yang menarik dan puitis seperti “setiap rekah menyimpan air mata/debu menjadi zikir yang tidak bersuara”, “langkahnya luka tapi tekadnya tidak berdarah/setiap tapak, sepotong surah reda”.
Semua ini menggambarkan keupayaan penyajak menggunakan bahasa puitis untuk menghidupkan suasana ibadah dalam ketabahan.
Selain itu, penggunaan kata seperti “rekah”, “luka”, “surah reda” dan “sabar”, selari berperanan membina dasar makna yang bersifat spiritual dan penuh kegigihan.
Penyajak juga berjaya menghadirkan unsur muhasabah diri melalui ungkapan, “aku malu/kerana kasutku lebih selesa daripada imanku.” Diksi ini memberikan kesan renungan yang mendalam dan mudah menyentuh rasa para pembaca.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dari sudut pemilihan kata dan ketepatan makna. Diksi “tumit itu bukan sekadar kulit/ia padang sabar yang menanggung doa” kelihatan indah, segar dan imaginatif melalui penggunaan metafora.
Namun begitu, apabila direnungi dengan lebih mendalam, ungkapan tersebut terasa agak janggal kerana sukar membayangkan tumit sebagai “padang sabar yang menanggung doa”.
Tumit yang berada di bahagian bawah kaki kurang sesuai diberikan peranan sebagai penanggung doa. Sebaliknya, sebagai bahagian kaki yang tabah dan patuh melangkah ketika menunaikan ibadah. Ungkapan yang lebih sesuai ialah “ia padang sabar yang menanggung patuh” kerana lebih selari dengan fungsi dan perlambangan tumit itu sendiri.
Begitu juga dengan frasa “malam itu aku tersedar/Allah tidak selalu bersuara/kadang Dia menegur melalui pandangan/yang membuat jiwa sujud”. Ungkapan “Allah tidak selalu bersuara” kurang sesuai digunakan kerana Allah SWT memiliki sifat kalam, iaitu sifat wajib yang menunjukkan bahawa Allah Maha Berkata-kata tanpa memerlukan lidah, mulut, huruf, suara atau sebarang alat.
Hal ini boleh menyebabkan ungkapan tersebut menimbulkan kekeliruan makna. Selain daripada itu, penggunaan kata “kadang” dalam baris “kadang Dia menegur melalui pandangan” juga kurang tepat dari segi tatabahasa. Perkataan yang lebih sesuai ialah “kadang-kadang” atau “kekadang”.
Sebagai penambahbaikan, keseluruhan diksi tersebut mungkin boleh dimurnikan seperti berikut:
Malam itu, aku tersedar
Allah Maha Bijaksana
menegur melalui aneka cara
yang membuat jiwa sujud setia.
Sajak “Langkah yang Tertahan” karya Halimah Ramli pula mengungkapkan tentang halangan dan ketidakpastian dalam langkah untuk memajukan kehidupan:
Ada satu rasa
yang bangun dalam dada
rasa hendak berjalan,
berlari,
dan terus bergerak
mengejar sesuatu
yang tak sempat diberi nama.
Namun kaki seakan diikat waktu,
langkah tak mahu maju
jalanan sepi memanjang
tanpa arah yang jelas.
Perlukah aku kekal
di satu tempat yang membisu?
Duduk, menunggu,
seraya memujuk hati
agar tabah memeluk sunyi?
Atau
haruskah aku tinggalkan semuanya,
melepaskan genggaman,
dan membiarkan angin
membawa aku jauh
dari beban yang tak terlihat?
Di antara dua persimpangan itu,
aku masih di sini
menimbang rasa,
mengutip kekuatan
daripada sepi yang paling dalam.
Kerana kadang-kadang,
yang bergerak bukanlah kaki,
tetapi jiwa
yang memilih untuk terus hidup.
Penyajak menggunakan kata-kata yang biasa dan mudah untuk menggambarkan konflik jiwa dan rasa terperangkap dalam kehidupan. Diksi seperti “kaki seakan diikat waktu” dan “jalanan sepi memanjang tanpa arah yang jelas” berupaya membina imej kebuntuan hidup yang dekat dengan pengalaman manusia.
Pemilihan kata yang sederhana menjadikan sajak ini mudah difahami dan lebih mesra pembaca.
Penyajak berjaya menutupkan sajak ini dengan baik melalui diksi, “yang bergerak bukan kaki/tapi jiwa/yang memilih untuk terus hidup”.
Ungkapan ini membawa makna yang agak mendalam tentang ketabahan manusia untuk menghadapi dugaan hidup. Biarpun kaki terhalang, namun jiwa tetap bertekad untuk terus berjuang.
Walau bagaimanapun, sajak ini agak kurang berani dan segar dari segi gaya pengucapannya. Sebahagian daripada ungkapan seperti “memujuk hati”, “memeluk sunyi”, “menimbang rasa” dan “mengutip kekuatan” sudah sering digunakan sebelum ini. Hal ini menyebabkan kesan luar biasa tidak menyerlah.
Penyajak perlu ‘meraut tajam’ metafora, simbol dan imej serta teliti menyaring pilihan diksi agar sajak ini boleh menjelma dengan lebih menarik dan berbekas.
Sajak “Kerusi Kosong di Hujung Meja” Farah Athirah membicarakan tentang rasa rindu seorang anak terhadap ayahnya yang hanyut kembali oleh keseronokan dunia remaja, biarpun telah menjadi seorang lelaki dewasa:
Terima kasih,
Kerana tak bertanya,
Milik siapa kerusi kosong di hujung meja,
Kerusi itu milik ayah,
Dia lelaki dewasa,
Entah dipaksa, terpaksa,
atau memang itu pilihannya,
Satu saat,
Dia hilang dalam gebar keremajaan,
Yang belum bertemu senja dalam usia,
Kini dia bertopangkan harapan,
Sesungguhnya hidup itu milik Tuhan.
Sajak ini menjelma melalui penggunaan simbol yang sederhana tetapi cukup berkesan. “kerusi kosong” menjadi lambang kehilangan dan kerinduan dalam institusi keluarga.
Penyajak tidak menggunakan bahasa yang terlalu rumit, namun kesedihan yang dibawa tetap mampu ditangkap oleh para pembaca. Ungkapan “Kerusi itu milik ayah” menjadi titik penting yang menghidupkan keseluruhan emosi sajak.
Nada tenang dan tidak memberontak juga menjadikan perasaan dalam sajak ini lebih terasa lembut dan halus.
Walau bagaimanapun, ungkapan, “kini dia bertopangkan harapan” masih boleh diperhalus lagi. Pembaca akan tertanya-tanya apakah yang sebenar terjadi kepada si ayah?
Apakah dia sakit, lumpuh atau lain-lain? Harapan apakah yang ditopangkannya? Harapan untuk kembali sihat atau harapan untuk insaf dan kembali di sisi keluarga?
Selain daripada itu penggunaan tanda baca dan pemenggalan baris juga boleh dimurnikan agar sajak ini akan mengalir dengan lebih lancar.
Proses memilih dan menyaring kata dalam penulisan sajak merupakan usaha membina kesatuan makna, emosi dan pengalaman yang ingin disampaikan kepada para pembaca.
Ketelitian dalam pemilihan diksi, simbol, imej dan bentuk akan menentukan sama ada sesebuah sajak mampu meninggalkan kesan yang mendalam atau sekadar menjadi rangkaian kata yang longgar dan kabur.
Setiap kata yang hadir dalam sajak perlu mempunyai fungsi, hubungan dan ketepatan makna agar keseluruhan binaan sajak tampil kukuh, harmoni dan meyakinkan.
Melalui tiga sajak yang dibincangkan, dapat dikesan bahawa setiap penyajak memiliki kecenderungan dan kekuatan tersendiri dalam menghasilkan karya.
Sedikit kekurangan yang ada akan mampu diatasi melalui proses belajar dan mencuba secara berpanjangan. Mereka harus sentiasa bersedia bertengkar dengan kata-kata dalam proses memurnikan karya.
Sajak yang baik selalu hadir melalui kaedah pengeraman, penapisan dan pertimbangan bahasa yang berulang-ulang.
Semakin teliti seseorang penyajak memilih dan menyaring kata, bertambah besar kemungkinan sajaknya mampu menjelma sebagai karya yang indah, matang, bermakna dan tahan diuji zaman.
Oleh Zainal Abidin Suhaili (Abizai)