
KUCHING: Aidiladha bukan sekadar ibadah korban, sebaliknya membawa pengertian lebih luas mengenai pengorbanan, keikhlasan, perpaduan dan tanggungjawab dalam kehidupan bermasyarakat.
Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, nilai pengorbanan itu jelas dalam usaha generasi terdahulu yang membina asas keamanan, persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Aidiladha mengajar kita tentang pengorbanan demi kebaikan yang lebih besar. Di Sarawak, nilai ini dapat dilihat melalui usaha generasi terdahulu yang membina perpaduan dan keharmonian antara kaum serta agama,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Menurutnya, keharmonian yang dinikmati hari ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan pemimpin dan masyarakat terdahulu yang mengutamakan toleransi serta saling menghormati.

“Generasi hari ini mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan keamanan ini. Jangan kita benarkan budaya kebencian, politik perpecahan atau ekstremisme merosakkan perpaduan masyarakat,” tegasnya.
Beliau berkata Sarawak kini menjadi contoh masyarakat majmuk yang hidup aman damai serta saling meraikan perayaan seperti Aidilfitri, Aidiladha, Gawai Dayak, Krismas dan Tahun Baharu Cina.
Katanya, amalan itu mencerminkan kekuatan sebenar masyarakat Sarawak yang bersatu dalam kepelbagaian.
Dalam pada itu, beliau berharap nilai perpaduan dan toleransi di Sarawak terus diperkukuh serta menjadi contoh kepada Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Beliau menghadiri program ibadah korban dan majlis silaturahim Aidiladha di sekitar Batu Kawa, selepas menunaikan Solat Sunat Aidiladha bersama masyarakat setempat, hari ini.