
LUBOK ANTU: Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu terus mempergiat usaha mendidik masyarakat mengenai ancaman jenayah komersial menerusi pelaksanaan Program ‘Beramah Mesra’ yang diadakan di beberapa lokasi sekitar Engkilili dan Lubok Antu semalam.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, program tersebut telah berlangsung di Kantin Kilang Merindun Engkilili, Pejabat SALCRA Sedarat Memaloi Oil Palm Estate Engkilili serta sebuah kedai makan di simpang Lubok Antu.
Program berkenaan diketuai oleh Sarjan Senda Luseh bersama anggota BSJKD sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan dalam talian atau scam yang semakin membimbangkan ketika ini.
Selain itu, program tersebut turut bertujuan memupuk kerjasama erat antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha bersama membanteras jenayah komersial di daerah berkenaan.


Sepanjang program berlangsung, anggota BSJKD telah memberikan penerangan mengenai trend terkini jenayah komersial yang sering digunakan oleh sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa.
Turut dikongsikan ialah fungsi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 yang diwujudkan bagi membantu orang ramai membuat laporan segera berkaitan kes penipuan kewangan.
Orang ramai juga diberikan pendedahan mengenai penggunaan aplikasi Whoscall, Portal Semak Mule atau CCID Check serta promosi Kod QR E-Book Jenayah Komersial sebagai langkah membantu masyarakat mengenal pasti risiko penipuan.
Dalam pada itu, penerangan berkaitan kesalahan dan risiko menjadi ‘Keldai Akaun’ turut diberikan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai implikasi undang-undang sekiranya terlibat dalam kegiatan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, IPD Lubok Antu melalui BSJKD akan terus komited melaksanakan program pencegahan jenayah secara berterusan bagi mendidik masyarakat selain berkongsi maklumat mengenai modus operandi terkini scammer agar penduduk di Daerah Lubok Antu tidak mudah menjadi mangsa penipuan.
Oleh Adi Safarman