
SEOUL: Dua lelaki ditikam di pejabat elektronik LG di barat Seoul hari ini, manakala suspek kini ditahan pihak berkuasa, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut polis dan pegawai bomba, mangsa masing-masing berusia lingkungan 50-an dan 40-an ditemukan cedera akibat tikaman di tingkat dua pusat perniagaan Magok milik syarikat itu di Gangseo Ward selepas laporan dibuat pada 11.18 pagi.
Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan di lengan dan rusuk, namun keadaan mereka dilaporkan tidak mengancam nyawa.
Polis berkata suspek melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum ditahan berhampiran Stesen Digital Media City.
Suspek mendakwa dia dalam perjalanan ke balai polis untuk menyerah diri.
Suspek dipercayai pekerja sebuah syarikat rakan kongsi dan dilaporkan mendakwa dia diganggu oleh mangsa sebelum menyerang mereka kerana marah.
Polis berkata suspek akan disoal siasat bagi mendapatkan butiran lanjut. – Bernama