
KUCHING: Polis Daerah Bau menjalankan operasi bersepadu pencegahan jenayah di sekitar Pekan Bau, Jambusan dan Siniawan bermula 8.00 malam, 24 Mei hingga 12.01 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Mohd Haide A Rahman, berkata operasi itu melibatkan 10 pegawai dan anggota polis yang diketuai beliau sendiri, manakala DSP Ritchie Jarit bertindak sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Operasi.
Menurutnya, operasi memberi tumpuan kepada rondaan pencegahan jenayah serta usaha membanteras kecurian kenderaan.
“Operasi melibatkan rondaan di sekitar Pekan Bau, kawasan perumahan di Bau dan Jambusan serta kawasan Siniawan. Pemeriksaan kenderaan turut dijalankan di Jalan Suba Buan, Bau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 15 kenderaan dan 20 individu diperiksa.
Kenderaan yang diperiksa terdiri daripada tujuh motokar, tiga motosikal dan lima kenderaan pacuan empat roda, manakala individu diperiksa melibatkan 15 lelaki dan lima wanita.
Mohd Haide berkata, tiada saman, tangkapan, rampasan atau kejadian tidak diingini direkodkan sepanjang operasi berkenaan.
Beliau berkata operasi tersebut berjalan lancar mengikut perancangan.
Oleh Connie Chieng