
MIRI: Sebanyak 18 saman dikeluarkan dalam Op Motosikal yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sekitar kawasan bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi bermula 10.00 malam pada Sabtu lepas hingga 4.30 pagi semalam itu dijalankan susulan aduan orang awam berhubung aktiviti motosikal yang mengganggu kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.
Menurutnya, sepanjang operasi dijalankan, seramai 10 lelaki dan dua wanita tempatan bersama 10 motosikal telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan antaranya penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’, tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran, pengubahsuaian ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, pengubahsuaian struktur motosikal serta tiada cermin sisi.
“Sebanyak lapan motosikal telah dikenakan saman PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan pengubahsuaian motosikal, manakala dua motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook Polis Daerah Miri malam tadi.


Mohd Farhan, menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi asal kenderaan serta mengelakkan aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling