
TOKYO: Pihak berkuasa imigresen Jepun merancang memperketat penguatkuasaan terhadap warga asing yang tinggal melebihi tempoh visa dan bekerja secara haram dengan memantau media sosial serta platform lain bagi mendapatkan maklumat dan petunjuk, lapor Kyodo News.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha negara itu untuk mengurangkan jumlah individu yang tinggal lebih masa ketika Jepun menerima lebih ramai pekerja asing susulan kekurangan tenaga kerja.
Seawal tahun depan, Agensi Perkhidmatan Imigresen Jepun merancang menggunakan alat analitik untuk mengenal pasti maklumat dalam talian berkaitan pekerjaan haram, termasuk pelawaan kerja dalam pelbagai bahasa asing, selain menubuhkan unit khas bagi pemantauan siber.
Menurut data agensi itu, Jepun merekodkan sekitar 68,000 pendatang asing tanpa izin setakat Januari, berkurangan sekitar 6,000 orang berbanding setahun lalu.
Sebagai sebahagian daripada program menyasarkan individu yang tinggal lebih masa, agensi itu turut menyasarkan tindakan terhadap majikan yang menggajikan pekerja asing tanpa visa sah. – Bernama