
SIBU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas ke dalam parit di Jalan Oya berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Elizabeth di sini, pagi tadi.
Ketua Zon Bomba Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.55 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.00 pagi dan mendapati seorang mangsa lelaki bersama sebuah motosikal jenis Modenas CT100 berada di dalam parit yang dipenuhi air.
“Pihak bomba telah diberi kebenaran oleh polis untuk mengangkat mangsa ke tempat yang selamat sebelum pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada 8.28 pagi.
Oleh Tarani Lanting