

LAWAS: Sepasukan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai buruh kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan memberitahu bahawa tangkapan tersebut dilakukan pada 2.10 petang Rabu lepas di tepi Jalan Trusan, Lawas.
“Hasil pemeriksaan badan telah menjumpai satu tiub straw yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu. Suspek telah ditahan, dan ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat 0.40 gram turut dirampas untuk siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.