
BINTANGOR: Pihak polis terus giat membanteras penyalahgunaan dadah menerusi Ops Tapis yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, dalam operasi tersebut, dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 42 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan kira-kira 7.55 malam sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
“Saringan ujian air kencing di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek tiada mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Saya menggesa masyarakat supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong,” katanya.
Tambahnya, maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222.
Oleh Earl Anek