Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Semangat ‘Sarawak Boleh’ iringi cabaran Tung Fatt
  • HIBURAN

Semangat ‘Sarawak Boleh’ iringi cabaran Tung Fatt

Utusan Sarawak 5 hours ago
KENANGAN…Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng merakam gambar kenangan bersama Persatuan Tarian Singa Tung Fatt.

KUCHING: Persatuan Tarian Singa Tung Fatt menjadi antara pasukan yang mewakili Sarawak ke Pertandingan Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Genting Ke-21 Peringkat Zon Malaysia Timur yang akan berlangsung pada 24 Mei ini di Dewan Masyarakat Tawau, Sabah.

Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan tersebut atas dedikasi, disiplin dan komitmen mereka dalam memartabatkan identiti budaya Sarawak menerusi seni tarian singa.

Menurut beliau, penyertaan Persatuan Tarian Singa Tung Fatt bukan sahaja mencerminkan semangat kerjasama dan ketabahan, malah menyerlahkan kepentingan memelihara warisan budaya tradisional untuk generasi akan datang.

“Tarian singa bukan sekadar persembahan budaya, malah ia juga sebahagian daripada industri kreatif dan kebudayaan yang semakin berkembang melibatkan seni persembahan, hiburan acara, pelancongan, pembangunan belia dan pemeliharaan warisan,” katanya.

AKSI menarik Persatuan Tarian Singa Tung Fatt ketika melakukan latihan di kawasan parkir Dewan Masyarakat MBKS.

Beliau berkata persembahan tarian singa terus memainkan peranan penting dalam sambutan komuniti, acara pelancongan, festival kebudayaan serta pertukaran antarabangsa, sekali gus menjadi jambatan antara tradisi dan industri kreatif moden selain memperkukuh penghargaan budaya dalam kalangan generasi muda.

Dalam pada itu, beliau turut memuji semangat dan pengorbanan ahli pasukan yang tetap gigih membuat persiapan walaupun berdepan kekangan kemudahan latihan.

Katanya, pasukan tersebut ketika ini tidak mempunyai tempat latihan yang sesuai dan sebagai sokongan terhadap pembangunan belia serta budaya tempatan, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) membenarkan kawasan parkir Dewan Masyarakat MBKS digunakan sebagai lokasi latihan sementara menjelang pertandingan itu.

Tambah beliau, langkah tersebut mencerminkan komitmen MBKS dalam menyokong aktiviti komuniti berkaitan budaya dan sukan khususnya yang melibatkan pembangunan belia serta pemeliharaan warisan.

Beliau turut menegaskan bahawa Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO terus menyokong aktiviti budaya dan kreatif yang menyumbang kepada perpaduan komuniti, pembangunan bakat serta promosi identiti masyarakat majmuk Sarawak.

Wee yakin Persatuan Tarian Singa Tung Fatt mampu menampilkan persembahan terbaik dengan penuh profesionalisme sambil membawa nama Sarawak di pertandingan peringkat zon itu, selain berharap pasukan berkenaan terus mempamerkan semangat ‘Sarawak Boleh’ sepanjang kejohanan berlangsung.

Oleh Norman B

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Imranul Effendy pilih bersaing dengan diri sendiri, kekal relevan dalam industri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.