
MIRI: Seorang lelaki diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian pecah kedai di kawasan Phase 2, Jalan Lopeng By Pass, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri kira-kira 12.30 tengah malam.
Menurutnya, tangkapan dibuat di belakang stesen minyak Petronas Jalan Bulan Sabit hasil maklumat dan risikan dijalankan pihak polis.


“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas pakaian yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan jenayah bagi dijadikan barang kes,” katanya menerusi hantaran di Facebook Polis Daerah Miri malam tadi.
Katanya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah di daerah ini.
Oleh Liong Chai Ling