

BAU: Seorang penunggang motosikal berusia 27 tahun maut dalam kemalangan kendiri di KM2.5 Jalan Bau-Kuching berhampiran simpang masuk Kampung Buso hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Mohd Haide A Rahman berkata mangsa dipercayai menunggang bersendirian dari arah Bau untuk pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kopit Siniawan ketika kejadian berlaku.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terlentang di kawasan semak kira-kira lima meter dari motosikal tersebut. Pasukan perubatan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian pada 8.30 pagi,” katanya.
Mohd Haide berkata siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal motosikal sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kanan lalu melanggar tiang besi milik Telekom.
Beliau berkata keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus dan kering serta cuaca juga baik.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bau untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Connie Chieng