
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita pilihan pertama dari China Chen Yu Fei menempah tempat ke suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan wakil India Devika Sihag, 21-16, 21-13 pada pusingan kedua di Unifi Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Juara edisi 2020 itu berkata ketika beberapa pemain ternama memilih untuk tidak menyertai kejohanan Super 500 berkenaan, beliau tetap mengharungi jadual padat siri kejohanan di Asia Tenggara dalam usahanya mencari rentak permainan.
Pemain nombor empat dunia yang menyertai kejohanan berturut-turut sejak Final Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark itu berkata beliau masih dalam proses mengembalikan prestasi ke tahap terbaik dengan menjadikan perlawanan sebagai medium utama untuk membina semula konsistensi.
“Saya merasakan prestasi keseluruhan saya ketika ini tidak begitu baik, jadi saya berharap dapat mencari rentak persaingan menerusi perlawanan.
“Sudah tentu ada keletihan tetapi ia tidak menjadi masalah. Yang penting ialah aspek mental,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Yu Fei ketika ditanya mengenai sasarannya pada edisi kali ini berkata beliau berharap dapat memberikan aksi terbaik untuk merangkul gelaran kedua Malaysia Masters.
Yu Fei berkata beliau turut memberi tumpuan kepada kempen semasanya di sini sambil memantau keadaan fizikalnya menjelang Terbuka Singapura 2026 yang akan berlangsung dari 26 hingga 31 Mei.
Pemenang pingat emas perseorangan wanita Sukan Olimpik 2020 di Tokyo itu meraih gelaran sulung Malaysia Masters selepas menewaskan bekas pemain utama Taiwan Tai Tzu Ying, 21-17, 21-10.
Minggu lepas, pemain berusia 28 tahun itu muncul naib juara Terbuka Thailand 2026 selepas tewas kepada pemain nombor tiga dunia dari Jepun Akane Yamaguchi, 21-14, 21-18.
Esok, Yu Fei akan berdepan pemain Thailand Pitchamon Opatniputh, yang mengejutkan pilihan ketujuh dari Vietnam Nguyen Thuy Linh, 21-18, 21-10.
Malaysia Masters 2026 yang berlangsung sehingga 24 Mei menawarkan hadiah keseluruhan AS$500,000 (RM1.98 juta). – Bernama