
KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kini semakin dekat.
Tanpa memberi bayangan bila tarikh sebenar, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menegaskan tempoh untuk melaksanakan PRN masih berbaki sehingga Februari tahun depan.
“Saya pun tidak tahu bila pilihan raya namun yang saya tahu tempoh kita (kerajaan) sehingga bulan dua (Februari), tapi dekat nak ada sebenarnya, dekat nak ada tapi saya belum tahu bila ‘beduk berbunyi’,” katanya seperti dilaporkan UKAS.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘GPS Backbenchers Night’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam tadi.
Abang Johari turut menzahirkan kebimbangan terhadap suasana politik di Semenanjung Malaysia yang berpecah belah hingga boleh menggugat kestabilan negara sekali gus menimbulkan masalah.
Justeru beliau menyeru kerajaan GPS agar terus bersatu untuk menolak budaya berpecah-belah serta terus gigih memelihara kebajikan rakyat.
“Sebab itu, kerajaan GPS amat penting menjadi benteng untuk kita mempertahankan Sarawak,” katanya.
Pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan GPS sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.
Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027.